Polis Thailand gagalkan cubaan seludup dadah di Tak Bai
NARATHIWAT - Polis Narathiwat menggagalkan cubaan menyeludup 250 kilogram dadah jenis kristal methamphetamine di Tak Bai, Narathiwat.
Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Anuruth Imarb berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari (waktu tempatan) pada 1 Jun lalu, polis menahan sebuah lori yang mencurigakan dalam satu sekatan jalan raya di Tak Bai.
"Ketika pemeriksaan, polis menemukan 10 guni dadah jenis methamphetamine yang tersembunyi dalam lori itu.
"Dadah yang bernilai lebih 100 juta baht itu dipercayai akan diseludup ke Malaysia,” katanya pada satu sidang media.
Tambahnya, pemandu lori berusia 29 tahun yang merupakan ‘runner’ sindiket dadah itu turut ditahan bagi membantu siasatan.
"Pemandu lori itu mengakui mengambil upah sebanyak 200,000 baht untuk menghantar stok dadah kepada sindiket di Tak Bai,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!