MiiM i-Sayang mudahkan urusan wasiat, harta pusaka
SYARIKAT pengurusan pusaka, Mawarith Integrated Sdn Bhd (MiiM) melancarkan perkhidmatan MiiM i-Sayang yang menyediakan solusi lebih komprehensif bagi memudahkan orang ramai melakukan pewarisan secara mudah dan sah dengan hanya di hujung jari.
Pengarah Komersial MiiM, Abdul Hadi Pilus, berkata, platform pewarisan digital tersebut bagi memudahkan orang ramai melakukan pengurusan harta pusaka, wasiat dan merancang hibah aset.
Tambahnya, perancangan awal wasiat atau hibah penting mengelak sebarang permasalahan berkaitan pembahagian harta pusaka apabila seseorang itu meninggal dunia.
"i-Sayang yang beroperasi sepenuhnya secara digital menawarkan perkhidmatan digital pentadbiran hibah aset secara telus, profesional selain menetapkan tuntutan syarak untuk kebaikan pemohon dan penerima serta ahli waris.
"Pendekatan kita adalah dengan menggunakan kaedah langganan. Selepas melanggan sistem ini, pelanggan akan menerima pelbagai manfaat dalam hal pengurusan wasiat, harta sepencarian dan pelbagai.
“Pelanggan juga layak menerima manfaat pengurusan pusaka seperti takaful kerana kami ada tabungan daripada langganan untuk kos pengurusan kematian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Majlis Pelancaran produk tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah MiiM, Datuk Mashuri Zainal selain turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MiiM, Ramlee Said dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan di Cyberjaya pada Ahad.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, menerusi platfom aplikasi mobil dan laman web, MiiM menyediakan penyelesaian yang lengkap dan juga sebagai rujukan kepada orang ramai agar lebih bersedia dalam melaksanakan hasrat pewarisan mereka.
Menurutnya, orang ramai juga boleh mendapatkan dokumentasi pewarisan secara percuma di laman web www.miim.my untuk memudahkan urusan dengan institusi berkaitan seperti di Pejabat Pesaka Kecil atau di Mahkamah Tinggi Sivil atau Mahkamah Syariah sekiranya perlu.
“Bagi yang mahukan perkhidmatan pewarisan digital berserta dengan servis pentadbiran lengkap, kami mengenakan kadar yuran langgan berpatutan,” ujarnya.
Jelas Abdul Hadi, melihat kepada kesedaran masyarakat yang semakin baik mengenai kepentingan menyediakan dokumentasi perancangan, pihaknya mensasarkan lebih 10,000 pelanggan pada tahun ini selain dijangka memperluaskan kempen perkhidmatan dengan melantik kira-kira 5,000 ejen berdaftar sehingga akhir tahun.
Sementara itu, Ramlee berkata, pihaknya juga merancang untuk mengembangkan pasaran produk mereka ke pasaran antarabangsa khususnya di Indonesia.
“Kita akan pergi ke pasaran Indonesia dalam tempoh dua tahun lagi sebab sudah ada rakan kongsi selain perkemaskan lagi sistem untuk pasaran antarabangsa dengan menyasarkan 2,000 langganan di sana (Indonesia) dalam tempoh dua tahun.
"Kesedaran mengenai kepentingan merancang pewarisan semakin baik namun masih ada masyarakat tidak bertindak untuk melakukan tanggungjawab itu.
“Ramai mula cakna mengenai kepentingan pewarisan aset tetapi apabila tiba pelaksanaan, ramai tangguh. Padahal pengisytiharan hibah atau wasiat yang lengkap dapat mengelakkan banyak isu berkaitan pembahagian harta pusaka selepas kematian,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!