'PN sudah dimaklumkan'

Kamaruddin
Kamaruddin
A
A
A

KOTA BHARU - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor pada Ahad memaklumkan, kerajaan negeri sudah beberapa kali membuat pengumuman bahawa Dewan Undangan Negeri Kelantan dijangka dibubarkan hujung bulan ini.

Kamaruddin turut memberitahu, gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN) juga akan membuka bilik gerakan bersama dan ketika ini persiapan akhir sedang dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Kami juga difahamkan sudah tidak ada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan saya rasa wakil rakyat Kelantan sedang membuat persiapan sewajarnya ketika ini.

"Mungkin Exco Selangor berkemas sedikit awal tetapi saya percaya PRN diadakan serentak untuk enam negeri," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan khabar angin berhubung tindakan beberapa Exco kerajaan negeri yang sudah mengosongkan ruang pejabat.

Amirudin berkata, tindakan itu merupakan perkara biasa terutama pada akhir penggal bagi menghadapi pilihan raya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persiapan PN Kelantan bagi menghadapi PRN, Kamaruddin memberitahu, semua persiapan sudah dilaksanakan termasuk kajian sikap dan pertemuan bersama golongan muda.

Bagaimanapun katanya, belum ada bilik gerakan dibuka setakat ini.

"Kita sedang menanti untuk isytihar calon dan semua itu akan ditentukan oleh pimpinan pusat," katanya.

Beliau yang juga anggota Majlis Pimpinan Tertinggi PN menjelaskan, PN Kelantan sepakat menggunakan lambang bulan dan Pas akan mengetuai gabungan itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!