Remaja lelaki hilang di Sungai Terengganu ditemukan lemas

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA BERANG - Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Terengganu, dekat Kampung Dusun di sini, Jumaat lepas ditemukan lemas hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Hasmeera Hassan berkata, mayat mangsa, Muhammad Adam Shazwan Mokhtar, 15, ditemukan terapung di sungai berhampiran Kampung Temir oleh orang awam kira-kira jam 1.05 petang.

"Mayat ditemukan oleh orang awam yang kebetulan melalui sungai itu, kira-kira tiga kilometer dari lokasi kejadian.

"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan termasuk bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!