PH Kedah sedia tiga pelan tindakan hadapi PRN
ALOR SETAR - Pakatan Harapan (PH) Kedah telah menyenaraikan tiga pelan tindakan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dibubarkan pada bila-bila masa bermula dari sekarang.
Pengerusi PH Kedah, Datuk Mahfuz Omar secara peribadi percaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah akan dibubarkan pada Jun dan pelan tindakan telah pun disenaraikan termasuk sedang menyesuaikan kerjasama jentera pilihan raya bersama Barisan Nasional (BN) Kedah.
"Kita sudah bersedia dengan menyediakan tiga pelan tindakan iaitu pertama adalah persediaan untuk menghadapi pembubaran DUN dijangka pada bulan ini.
"Pelan kedua adalah selepas pembubaran DUN sehingga hari penamaan calon dan pelan ketiga adalah hari penamaan calon hingga hari mengundi," katanya semasa dihubungi Sinar Harian.
Bekas Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata demikian mengulas persiapan PH Kedah bagi menghadapi PRN Kedah yang dijangka dibubarkan pada Jun.
Media melaporkan DUN Selangor akan dibubarkan dalam tempoh 23 hari berikutan tempoh penggal berakhir secara automatik pada 25 Jun ini.
Beberapa Exco Kerajaan Negeri sudah mula mengemas dan mengosongkan pejabat masing-masing, bagaimanapun Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan tindakan tersebut sebagai perkara biasa di akhir penggal sebelum menghadapi PRN.
Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan Perpaduan Negeri Kedah berkata, bilik gerakan PH di seluruh Kedah juga sudah bersedia untuk menggerakkan jentera pilihan raya dengan kerjasama jentera pilihan raya BN negeri.
Jelasnya, pergerakan dan kerjasama jentera pilihanraya PH dan BN Kedah akan disesuaikan mengikut calon-calon yang akan diumumkan tidak lama lagi.
"Jentera parti PH dan BH akan membantu di antara satu sama lain bagi menggerakkan kempen calon daripada Kerajaan Perpaduan.
"Sebenarnya kerjasama ini telah pun berlaku lama untuk menyesuaikan kerjasama jentera PH dan BN melalui penerangan dan ceramah-ceramah yang diadakan sebelum ini," ujar Mahfuz.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!