Bot karam, dua nelayan hanyut berjaya diselamatkan
PELABUHAN KLANG - Dua nelayan yang hanyut selepas bot dinaiki karam di perairan Kuala Langat akibat ribut pada Ahad, berjaya diselamatkan.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, pihaknya menerima maklumat diterima dari Vesel Tracking Management System (VTMS) Lembaga Pelabuhan Klang berkaitan sebuah bot tunda telah menyelamatkan dua nelayan yang hanyut.
Menurutnya, bot ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) diatur gerak ke lokasi sejurus menerima maklumat tersebut.
"Mangsa, Asmadi Saiman, 60, dan anaknya Mohd Aslan, 34, keluar dari Jeti Kancung Laut pada 5 petang Sabtu.
"Bot dua beranak itu dilanda ribut dan karam pada jam 3.15 pagi Ahad, sebelum ditemukan hanyut dengan memakai jaket keselamatan dan berpaut pada penutup tong ikan oleh bot tunda," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, kedua-dua nelayan itu telah dibawa ke Jeti Kelanang dan diserahkan kepada Angkatan Pertahanan Awam bagi pemeriksaan kesihatan.
"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya kepenatan," katanya.
Siva Kumar berkata, orang ramai dan komuniti Maritim diingatkan agar sentiasa memastikan aspek keselamatan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan cakna dengan keadaan cuaca.
"Sebarang insiden kecemasan di perairan Selangor, orang ramai boleh menyalurkan maklumat menerusi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-321760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!