APG 2023: Skuad renang jelma enam emas

Abd Halim merangkul emas menerusi acara kuak dada 100 meter lelaki SB8. - Foto Twitter Bernama
Abd Halim merangkul emas menerusi acara kuak dada 100 meter lelaki SB8. - Foto Twitter Bernama
A
A
A

SKUAD renang negara menepati ramalan apabila cemerlang meraih enam pingat emas, dua perak dan satu gangsa pada hari pertama pertandingan di temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di sini hari ini.

Tiga perenang negara turut mencipta sensasi apabila memecah rekod kejohanan APG pada edisi ke-12.

Mohd Adib Iqbal Abdullah terlebih dahulu memecah rekod kejohanan menerusi acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB14 (kecatatan intelektual) dengan catatan satu minit 9.54 saat (s) untuk mengetepikan cabaran Ariel Joseph Montarde dari Filipina (1:13.59s) dan perenang Singapura Darren Wei di kedudukan ketiga (1:18.82s).

Atlet berusia 23 tahun itu memecahkan rekod peribadi iaitu 1:10.87s yang dibuat pada edisi lepas di Solo, Indonesia.

Mohd Adib Iqbal yang sebak selepas upacara penyampaian pingat berkata beliau gembira dapat mempertahankan pingat emas yang dimenanginya melalui kerja keras yang dilaksanakan di bumi Kemboja.

"Saya sangat gembira sebab dapat pertahankan pingat sekali gus dapat pecah rekod. Saya hanya buat yang terbaik untuk hari ini dan kemenangan ini didedikasikan kepada keluarga yang beri sokongan tanpa berbelah bahagi,” katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, perenang para wanita negara, Carmen Lim turut unggul meraih pingat emas menerusi acara 100m kuak dada wanita SB8 (kecacatan fizikal) apabila mencatatkan 1:41.32s, meninggalkan cabaran atlet Thailand Chaiwong Peakaithip di tempat kedua (1:46.32s) dan Thi My Le dari Vietnam di tempat ketiga (1:47.83s).

Rekod kejohanan sebelum ini dipegang oleh Thin Thin Khaine dari Myanmar iaitu 1:42.58s yang dibuat pada APG Singapura 2015.

Perenang muda, Muhammad Imaan Aiman Muhammad Redzuan yang berusia 17 tahun pula meneruskan rentak cemerlang menerusi acara 50m kuak lentang S14 (kecacatan intelektual) dengan 31.01s sekali gus memadamkan rekodnya sendiri iaitu 29.27s.

Kemenangan itu menyaksikan seorang lagi perenang negara Duran Yaspi Imam Basori meraih perak dengan 31.01s dan Indonesia Fathur Rizky (31.76s).

Tiga lagi pingat emas diperoleh menerusi Abd Halim Mohammad yang menyandang gelaran juara bagi dua kategori iaitu 100m kuak dada SB8 (kecacatan fizikal) dan 100m gaya bebas S8 (kecacatan fizikal) manakala Fraidden Dawan melalui acara 400m gaya bebas S10 (kecacatan fizikal).

Selain itu, dua perak diperoleh menerusi Duran Yaspi pada acara 50m kuak lentang S14 (kecacatan intelektual) dan Rusdianto Rusmadi pada acara 400m gaya bebas S8 (kecacatan fizikal) manakala satu gangsa oleh Carmen Lim menerusi 100m gaya bebas wanita S7-8 (kecacatan fizikal). - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!