Skuad kriket mahu lebih banyak pendedahan luar negara
SKUAD kriket wanita negara Twenty20 (T20) berharap untuk mendapat lebih banyak pendedahan antarabangsa dalam usaha melangkah lebuh jauh dan memperbaiki dalam ranking dunia pada masa hadapan.
Ketua pasukan, Mas Elysa Yasmin Zulkifli, berkata mereka perlu bersaing di luar negara sekurang-kurangnya sebulan sekali berbanding purata tiga hingga empat kali setahun.
“Jika mendapat pendedahan tambahan bermain di luar negara dengan lebih baik, kami mahu menimba pengalaman, mengumpul mata ranking Majlis Kriket Antarabangsa (ICC) T20 dan naik dari kedudukan semasa kami di nombor 27 untuk berada di kedudukan 20 teratas suatu hari nanti.
“Apabila kita bersaing di peringkat antarabangsa, kita akan mendapat lebih banyak pengetahuan dan rasa permainan. Dari situ, kami boleh belajar mengawal pelbagai situasi di atas padang terutama apabila berdepan pasukan teratas,” katanya kepada selepas perlawanan akhir siri dua hala Malaysia-Nepal, pada Ahad.
Nepal memenangi perlawanan kelima dan terakhir siri itu, yang bermula pada 29 Mei, dengan tiga wiket di Oval Kriket Yayasan Sime Darby (YSD)-Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi.
Malaysia sebelum ini memenangi perlawanan pertama dan keempat manakala Nepal memenangi perlawanan kedua dan ketiga siri dua hala itu.
Mengulas mengenai prestasi Malaysia dalam siri itu, pemain berusia 22 tahun itu berkata beliau gembira melihat prestasi pasukannya meningkat dengan setiap perlawanan, terutama dalam pukulan (batting) mereka.
Beliau juga cukup berpuas hati dengan pencapaian pingat gangsa Malaysia pada Sukan SEA 2023 yang baru berakhir di Phnom Penh, Kemboja, sambil menambah bahawa mereka berjaya merapatkan jurang dengan Thailand, juara temasya dwitahunan itu.
“Saya dapat rasakan jurang antara kami dan Thailand semakin rapat... cuma kami gagal memanfaatkan dua peluang besar untuk tewas dengan 12 larian kepada Thailand semasa peringkat kumpulan di Sukan SEA, tetapi saya yakin kami mampu untuk mengalahkan mereka tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi, Persatuan Kriket Malaysia (MCA), M. Dinesh mengakui bahawa mereka perlu mengeluarkan lebih banyak wang, melalui pelaburan dan tajaan, bagi memastikan pasukan wanita negara boleh mendapat lebih banyak pendedahan antarabangsa. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!