Mbappe berazam atasi Papin
PENYERANG Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe bertekad memecahkan rekod penjaring terbanyak enam musim berturut-turut Ligue 1 musim depan.
Keazaman tinggi Mbappe hadir selepas dia menyamai rekod lima anugerah Kasut Emas berturut-turut Jean-Pierre Papin.
Mbappe menjaringkan gol liga ke-29 musim ini dalam perlawanan terakhir PSG di Paris pada Sabtu, yang menyaksikan kekalahan 2-3 kepada Clermont.
Bintang Perancis itu sebelum ini dinamakan pemain Ligue 1 musim ini buat kali keempat berturut-turut minggu lalu.
Pemain berusia 24 tahun itu muncul penjaring terbanyak Ligue 1 setiap tahun sejak berpindah ke PSG pada 2018, berkongsi Kasut Emas dengan Wissam Ben Yedder dari AS Monaco pada 2019-20.
“Anugerah penjaring terbanyak saya? Saya sangat gembira. Kami telah memenangi kejuaraan. Saya masih penjaring terbanyak dan pemain terbaik. Sesungguhnya ia satu yang hebat.
“Memang benar terpaksa menunggu penghujung musim, apabila kami memenangi kejuaraan, ia matlamat peribadi dan saya mencapainya.
“Namun saya berazam tahun depan untuk menewaskan Jean-Pierre Papin,” kata Mbappe yang juga penjaring terbanyak PSG sepanjang zaman.
Sebagai rekod, tiga pemain memenangi Kasut Emas Ligue 1 lima kali tetapi Papin pemain pertama memenanginya lima kali berturut-turut antara 1987 dan 1992 ketika bersama Olympique de Marseille.
Mbappe menandatangani lanjutan kontrak dengan PSG sehingga 2025 tahun lalu.
Namun media melaporkan ia hanya kontrak dua tahun dengan pilihan pemain untuk tahun ketiga - yang bermakna Mbappe akan memasuki tahun terakhir kontraknya musim depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!