Segerakan akta khas pelajar latihan industri

No Image Caption
A
A
A

SABAN tahun isu mengenai masalah elaun latihan industri untuk pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mahupun swasta (IPTS) selalu dibangkitkan.

Sudah lama para pelajar IPTA dan juga IPTS menanggung beban lapuk ini dan ia tidak berkesudahan berikutan tiada penyelesaian konkrit kerajaan sehingga hari ini.

Akibat daripada ketiadaan penyelesaian yang konkrit dilihat para pelajar lebih rela memilih untuk bekerja selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada menyambung pelajaran takut terbeban dengan kos yang tinggi untuk belajar di IPT termasuk semasa latihan industri.

Kebelakangan ini dilaporkan banyak syarikat ternama membuat kerahan kerja terhadap pelajar praktikal tanpa dibayar elaun.

Senario ini menyebabkan ramai dalam kalangan pelajar terpaksa mengeluarkan belanja sendiri ketika menjalani latihan industri.

Ya, memang tidak dinafikan latihan praktikal adalah pendedahan awal kepada para pelajar ini dengan suasana sebenar alam pekerjaan sebelum mereka betul-betul bekerja, tetapi mereka tidak seharusnya dianaktirikan.

Ini kerana mereka turut menyumbang idea dan tenaga dalam apa juga keputusan untuk memudah dan melancarkan lagi perjalanan sesebuah syarikat.

Isu ini selain mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian Sumber Manusia melalui menterinya, V Sivakumar memberitahu pihaknya sedia meneliti cadangan untuk mewujudkan akta khas yang melibatkan elaun pelajar latihan praktikal bagi mengelakkan eksploitasi tenaga kerja dan melindungi hak mereka.

Sivakumar turut menjelaskan akta sedia ada iaitu Akta Kerja 1955 sudah mencukupi tetapi pihaknya bersedia untuk meneliti saranan-saranan pihak tertentu dalam hal ini.

Pastinya ramai yang mahu melihat semula akta tersebut disusuli dengan formula berkaitan perkara tersebut bagi memastikan hak pelajar yang menjalani latihan industri terbela.

Apa yang diharapkan, kerajaan dapat membantu menyelesaikan isu elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri ini demi kepentingan pelajar pada masa depan.

Ini kerana mahasiswa adalah aset penting untuk masa depan negara yang lebih baik dan kerajaan dipercayai tidak lekang dengan idea untuk mendekati mahasiswa secara holistik melalui agenda pemerkasaan mahasiswa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!