Peniaga tolonglah mudahkan pengguna
BERBICARA mengenai beg plastik, masih segar di ingatan Merak Jalanan hari pertama pelaksanaan hari tanpa beg plastik di negeri Selangor sekitar tahun 2010.
Kebetulan hari tersebut Merak Jalanan beli makanan di sebuah restoran makanan segera untuk sambutan hari jadi anak Merak Jalanan.
Sebaik selesai membayar pesanan dan menerima makanan yang dipesan barulah kakitangan yang bertugas memberitahu, “Kami tidak lagi menyediakan beg plastik ya.”
Pastinya Merak Jalanan sedikit emosi kerana makanan yang dipesan bukannya sedikit jadi bagaimana hendak membawanya?
Setelah Merak Jalanan ‘membebel’ barulah kakitangan tersebut beritahu mereka boleh berikan beg plastik tetapi ia akan dikenakan bayaran sebanyak 20 sen untuk satu beg plastik.
Ketika itu Merak Jalanan tiada pilihan terpaksalah mengeluarkan RM1 untuk lima beg plastik semata-mata mengisi kesemua makanan yang dipesan.
Apa yang bermain di fikiran Merak Jalanan ialah kenapa ada jenama makanan segera lain boleh menggantikan penggunaan beg plastik dengan beg kertas, malah rasanya merekalah yang pertama menggantikan penggunaan beg dan juga penyedut minuman plastik kepada beg dan juga penyedut minuman kertas.
Bukankah itu memudahkan pengguna walaupun kos untuk beg dan juga penyedut minuman tersebut telah diserap dalam harga makanan yang dijual.
Dengan cara ini ia tidak menyusahkan pengguna walaupun untuk memegang beg kertas tersebut sedikit susah tanpa pemegang tetapi sekurang-kurangnya ia lebih memudahkan pengguna berbanding tiada beg langsung.
Apa yang dilakukan restoran makanan segera ini pada Merak Jalanan seharusnya diberikan pujian dan kesemua peniaga seharusnya mengikuti langkah yang dilihat cukup memudahkan para pengguna ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!