[VIDEO] Maahad tahfiz jual hasil laut jana pendapatan
MERBOK - Maahad Tahfiz An-Nur di Jalan Pekan Merbok di sini bukan sahaja memberi keutamaan terhadap pengajian al-Quran dan hafazan semata-mata, malah turut menjalankan aktiviti sampingan menjana ekonomi bagi menambah pendapatan.
Tenaga pengajar, Siti Natrah Mansor berkata, antara aktiviti dilakukan termasuk menjual produk hasil laut seperti ikan kering, belacan, sambal bilis dan sotong kering yang diproses dari rumah (homemade) dan memanfaatkan penggunaan media sosial bagi tujuan promosi.
Menurutnya, setakat ini, sambutan diterima cukup memberangsangkan dengan penghantaran secara pos dilakukan ke seluruh negara.
"Setakat ini, kira-kira 50 penghuni perempuan berusia antara tujuh hingga 18 tahun mengikuti pengajian di maahad ini yang mempunyai latar belakang berbeza termasuk anak yatim dan kurang berkemampuan.
"Selain mengaji al-Quran dan hafazan, mereka juga diberi peluang memantapkan kemahiran diri menerusi penglibatan dalam sukan sunah seperti memanah dan silat.
"Kesemua penekanan itu akan memberi pengalaman berharga dalam usaha mendidik mereka berdikari sekali gus sebagai persiapan setelah tamat pengajian," katanya.
Beliau berkata, selain pengajian al-Quran termasuk Fiqah, Tajwid dan Adab, pelajar juga dikehendaki melaksanakan khidmat kebersihan membabitkan kawasan dapur, halaman, tandas, surau dan asrama.
"Mereka akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan diagihkan tugasan khidmat seperti membersihkan halaman, tandas dan surau secara bergilir setiap hari.
"Ini dapat membantu melatih mereka menjaga kebersihan selain memupuk amalan bertanggungjawab dalam diri," katanya.
Beliau berkata, premis yang didirikan atas tanah milik individu di Jalan Pekan Merbok itu kira-kira tujuh tahun lalu itu adalah bersifat sementara sebelum bercadang berpindah ke tapak dan bangunan yang lebih selesa.
"Setakat ini, ruang pembelajaran dan penginapan didirikan dalam keadaan serba kekurangan.
"Dana yang lebih besar diperlukan untuk membina premis baharu memandangkan ia bergantung kepada yuran pengajian, namun akur apabila ada sesetengah keluarga tidak mampu untuk melunaskannya," katanya.
Jelasnya, ia membolehkan pihak pengurusan kreatif dalam menjana pendapatan termasuk menjual pelbagai produk kering dan hasil laut.
Orang ramai yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB Bank bernombor 8603580938 atas nama Maahad Tahfiz An-Nur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!