Pastikan poket rakyat berisi lebih penting

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PADA 1 Jun atau bersamaan dengan suku kedua tahun 2023, majalah Forbes Asia menyenaraikan 50 individu terkaya Malaysia.

Senarai itu dihasilkan oleh Forbes 2023 menggunakan maklumat pegangan saham dan kewangan yang diperoleh daripada keluarga dan individu, bursa saham, laporan tahunan dan daripada para penganalisis.

Kedudukan itu menyenaraikan kekayaan individu dan keluarga, termasuk yang dikongsi dalam kalangan saudara-mara. Syarikat swasta dinilai berdasarkan syarikat serupa yang didagangkan secara terbuka.

Untuk sekian kalinya, pengasas kumpulan Kuok, Tan Sri Robert Kuok yang akan berusia 100 tahun pada Oktober ini masih menduduki tempat pertama orang terkaya di Malaysia, kedudukan yang dipegangnya selama lebih suku abad dengan jumlah kekayaan AS$11.8 bilion.

Di tangga kedua pula, Pengerusi Syarikat Hong Leong (Malaysia) Tan Sri Quek Leng Chan meraih keuntungan tinggi dalam dolar dan menduduki tempat kedua individu terkaya Malaysia dengan kekayaan terkumpul sebanyak AS$10.2 bilion.

Senarai itu diikuti dengan tokoh logam Koon Poh Keong dan adik-beradiknya, kekal di tempat ketiga dengan nilai gabungan kekayaan mereka sebanyak AS$5.8 bilion.

Berkisar tentang individu Melayu terkaya, daripada 50 individu yang disenaraikan, hanya tiga dari kaum ini yang tersenarai iaitu tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary; pemilik Weststar Aviation Services Sdn Bhd (WAS), Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dan tokoh perbankan terkemuka negara, Tan Sri Azman Hashim.

Syed Mokhtar berada di kedudukan ke-11 dengan nilai kekayaan sebanyak AS$1.6 bilion; Syed Azman pula menduduki tangga ke-24 dengan nilai kekayaan berjumlah AS$825 juta manakala Azman di tangga ke-34 di Malaysia dengan memiliki kekayaan berjumlah AS$575 juta.

Dengan setiap tahun menyaksikan hanya tiga individu dari kaum Melayu yang terus tersenarai, timbul persoalan sejauh mana jumlah itu dapat dipertingkatkan dan adakah kerajaan perlu memainkan peranan untuk mencapai ke arah matlamat itu?

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Maslan misalnya dalam respon pendedahan Forbes 2023 itu menjelaskan, membina usahawan dengan ilmu yang cukup adalah usia yang mulia.

Ahli Parlimen Pontian itu turut melontarkan kata-kata semangat seperti jadilah peniaga yang berjaya untuk kaya-raya.

Dan untuk mencapai ke arah itu, Sinar Harian sendiri mendapatkan pandangan daripada beberapa ahli perniagaan Melayu di mana mereka menyarankan usahawan Melayu dan bumiputera perlu mempunyai pakej merangkumi ketahanan diri, modal dan komunikasi jika ingin menempatkan diri sebaris dengan jutawan serta taikun terkenal negara.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal mendedahkan, banyak senario yang berlaku ketika ini adalah kurangnya ketahanan menyebabkan ramai usahawan mengalah sehingga perniagaan terkubur.

Disebabkan itu, ia menyumbang kepada faktor kurangnya bilangan kaum Melayu membarisi senarai 50 individu terkaya berkenaan.

Pun begitu bagi penulis, mengharapkan kerajaan untuk meningkatkan bilangan orang Melayu dalam senarai individu terkaya di Malaysia bukanlah tugas paling penting pada ketika ini di kala rakyat masih berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi.

Kerajaan seharusnya perlu menumpukan usaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat sebagai penyelesaian jangka panjang bagi isu kos sara hidup yang semakin membebankan ketika ini.

Ini kerana secara umumnya pendapatan atau upah yang diterima rakyat dilihat mendatar atau tidak meningkat, sekali gus tidak selari dengan pertumbuhan ekonomi.

Dari perspektif ekonomi, kos sara hidup merujuk kepada tahap kuasa beli isi rumah setelah mengambil kira kadar inflasi dan peningkatan pendapatan.

Dan kos sara hidup tidak menjadi masalah kepada isi rumah dan sesebuah negara jika kadar pendapatan meningkat lebih tinggi berbanding dengan inflasi.

Tetapi pada hari ini ekonomi Malaysia mengalami keadaan sebaliknya iaitu kadar pendapatan isi rumah bertumbuh lebih perlahan berbanding inflasi terutamanya bagi golongan M40 dan B40.

Hasil kaji selidik yang dijalankan oleh Endeavour-MGC yang disiarkan di akhbar ini dan Astro Awani baru-baru ini juga memperlihatkan rakyat mahu Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran memberikan keutamaan paling tinggi terhadap usaha mengurangkan inflasi dan menjana pertumbuhan ekonomi.

Jadi tidak perlulah mengharapkan kerajaan untuk menambahkan bilangan individu terkaya terutamanya orang Melayu, sebaliknya memberi fokus memastikan poket rakyat sentiasa berisi untuk menempuh hari-hari yang mencabar.

* Nurkhairini Jumari ialah Editor Pengisian Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!