Solari tak bimbang prestasi Arif Aiman

Arif Aiman
Arif Aiman
A
A
A

PRESTASI bintang muda meningkat naik Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi akan kembali menyerlah apabila pusingan kedua Liga Super menyingkap tirai jadual pada minggu ini.

Itu keyakinan pengendali JDT, Esteban Solari apabila mengakui tidak bimbang prestasi semasa pemain sayap berusia 20 tahun itu kerana percaya ia bersifat sementara dan suatu proses yang kebiasaannya dilalui setiap pemain.

“Arif Aiman pemain yang baik dan mudah bekerja sama dengan para pemain JDT lain, dia bekerja keras mengerakan pasukan selain memberikan bantuan gol serta membantu bahagian pertahanan.

“Namun seperti kebiasaanya setiap pemain akan berada pada tahap prestasi kurang baik, tidak terkecuali Arif Aiman dalam perlawanan menentang Penang, dia pun mengetahuinya.

“Biarpun begitu Arif Aiman tahu kami keluarga JDT sentiasa memberikan sokongan kepadanya setiap masa dalam meningkat prestasi bersama pasukan ini kerana dia sentiasa hadir ketika kami amat memerlukan sentuhannya.

“Kami di sini akan sentiasa memberikan sokongan kepada Arif Aiman, kerana dia masih muda dan banyak lagi perkara perlu dipelajari selain perjalanan karier bola sepaknya masih jauh,” katanya pada Sabtu.

Solari berkata demikian selepas pemain itu bergelut untuk berada pada prestasi terbaik ketika berdepan Penang FC.

Terdahulu penyandang juara JDT mencatat kemenangan ke-13 berturut-turut Liga Super selepas menewaskan Penang FC 2-0, di Stadium Bandaraya pada Sabtu.

Dua gol hasil jaringan La'Vere Corbin-Ong minit ke-18 dan Fernando Forestieri (m-86), mengukuhkan cengkaman takhta liga dengan 39 mata.

Bagaimanapun Solari mengakui jentera Harimau Selatan dipaksa bekerja keras sebelum dapat menjinakkan Harimau Kumbang kendalian Manzoor Azwira tersebut untuk kemenangan ke-13 liga tersebut.

Malah menurut Solari, kemenangan besar 5-0 Harimau Selatan ke atas Harimau Kumbang dalam suku akhir Piala FA sememangnya bukan sandaran untuk tiga mata mudah kepada pasukan pelawat.

“Ya, seperti yang saya katakan sebelum ini berdepan Penang di laman lawan merupakan perlawanan yang mencabar, tambahan pula mereka memiliki jentera penyudah berkualiti yang sering menghadirkan kesulitan kepada bahagian benteng JDT.

“Kami memerlukan selepas 20 minit di separuh masa pertama untuk kembali menguasai rentak permainan, dan selayaknya mendapatkan gol kerana para pemain berusaha keras mencari gol awal.

“Separuh masa kedua pula JDT ternyata berbeza berbanding separuh masa pertama, dan memiliki beberapa peluang melebarkan jaring sebelum berjaya menambah jaringan,” katanya yang gembira dengan prestasi Harimau Selatan pada masa ini.


LIGA SUPER 2023

RABU (7 JUN)

Kelantan United lwn Selangor FC

(Stdm Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, 9 malam)

Kedah Darul Aman lwn Perak FC

(Stdm Darul Aman, 9 malam)

KHAMIS (8 JUN)

Kuching City FC lwn Kelantan FC

(Stdm Negeri, 8.15 malam)

Penang FC lwn Kuala Lumpur City

(Stdm Bandaraya, 9 malam)

PDRM FC lwn Sabah FC

(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)

JUMAAT (9 JUN)

Sri Pahang lwn Negeri Sembilan FC

(Stdm Darul Makmur, 8.15 malam)

Terengganu FC lwn JDT FC

(Stdm Sultan Mizan Zainal Abidin, 9 malam)

* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia (MFL)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!