Zlatan Ibrahimovic umum bersara di usia 41 tahun
ZLATAN Ibrahimovic akhirnya melabuhkan tirai karier bola sepak yang penuh kegemilangan setelah mengumumkan persaraannya daripada bola sepak.
Penyerang veteran itu mendedahkan keputusannya untuk berhenti bermain semasa majlis selepas kemenangan 3-1, AC Milan ke atas Verona dalam kempen Serie A.
“Ia adalah masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada bola sepak, bukan hanya kepada anda sahaja.
"Terlalu banyak emosi untuk saya sekarang. Forza Milan dan selamat tinggal,” kata Ibrahimovic di padang San Siro.
Pemain berusia 41 tahun itu dijangka hanya mengucapkan selamat tinggal kepada para penyokong Milan selepas pemergiannya daripada juara Eropah tujuh kali itu diumumkan pada Sabtu.
Dia kembali ke Milan pada akhir 2019 untuk tempoh kedua selepas tempoh dua tahun sebelumnya di mana dia memenangi gelaran Serie A pada 2011.
"Kali pertama saya datang ke sini awak memberi saya kebahagiaan, kali kedua awak memberi saya cinta...
“Anda menyambut saya dengan tangan terbuka, anda membuatkan saya berasa seperti di rumah sendiri, saya akan menjadi Milanista sepanjang hayat saya,” katanya.
Sebagai rekod, Ibrahimovic adalah watak penting dalam kebangkitan semula Milan ke puncak bola sepak Itali selepas kembali ke kelab itu sekali gus membantu mereka kembali daripada kekecewaan dan akhirnya memenangi Scudetto musim lalu.
“Sejujurnya, dulu saya takut apabila wartawan tanya masa depan saya, tapi sekarang saya boleh terima, saya sudah bersedia.
"Saya telah melakukan ini sepanjang hidup saya, bola sepak menjadikan saya seorang lelaki. Ia membolehkan saya mengenali orang yang saya tidak akan pernah kenali, saya telah mengembara dunia terima kasih kepada bola sepak. Ini semua berkat bola sepak," kata Ibrahimovic selepas pengumumannya.
Sepanjang kariernya, Ibrahimovic memenangi kejuaraan liga di Belanda, Itali, Sepanyol dan Perancis, walaupun satu-satunya trofi Eropah utamanya ialah Liga Europa 2017 bersama Manchester United.
Membuat pengumuman di San Siro adalah tepat kerana dia juga memenangi tiga kejuaraan liga berturut-turut bersama Inter Milan antara 2006 dan 2009 sebelum mengharungi pergolakan di Barcelona.
Persaraannya berlaku selepas musim di mana dia hampir tidak bermain untuk kelab kendalian Stefano Pioli selepas dibelenggu kecederaan, kembali pada Februari selepas pembedahan pada lutut kirinya pada Mei.
Pada Julai, dia menandatangani perjanjian lumayan sekitar €1 juta (AS$1.02 juta) dalam gaji tetap, dengan bonus besar dikaitkan dengan penampilan dan pencapaian.
Namun selepas bersetuju dengan perjanjian itu, pemain berusia 41 tahun tersebut hanya memulakan satu perlawanan dan menjaringkan satu gol untuk Milan, kemenangan 3-1 di Udinese pada Mac - dia menjadi penjaring gol tertua dalam sejarah Serie A.
Dia kemudian mengalami kecederaan betis semasa memanaskan badan sebelum perlawanan pada April dan menamatkan kariernya, menepis khabar angin bahawa dia akan berpindah ke Monza dan menyasarkan Euro 2024 bersama Sweden.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!