Benzema, Messi bakal sertai Ronaldo di Liga Pro Saudi

Benzema - Foto AFP
Benzema - Foto AFP
A
A
A

KARIM Benzema dan Lionel Messi dilaporkan akan berpindah ke Arab Saudi selepas penyerang Perancis itu sah meninggalkan Real Madrid.

Saluran televisyen Arab Saudi, Al-Ekhbariya mendakwa Benzema telah menandatangani kontrak dengan Al-Ittihad yang berpangkalan di Jeddah.

Pegawai pasukan Al Hilal telah terbang ke Perancis untuk cuba mendapatkan persetujuan Messi selepas pemain berusia 35 tahun itu bermain perlawanan terakhirnya untuk Paris Saint-Germain pada Ahad.

Delegasi Arab Saudi merancang untuk bertemu bapa dan ejen Messi, Jorge, dengan tujuan untuk melengkapkan tandatangan secepat mungkin, kata sumber kepada AFP semalam.

Messi tiba di Paris dua musim lalu dari Barcelona tetapi tidak dapat membantu PSG memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara selepas kelab itu tersingkir di pusingan 16 pasukan terbaik dalam kedua-dua kempen bersama tonggak Argentina itu.

Benzema dan Messi dijangka menyertai Cristiano Ronaldo di liga Saudi apabila penyerang Portugal itu berpindah ke Al Nassr dari Manchester United selepas Piala Dunia tahun lalu.

Menurut Al-Ekhbariya, presiden Al-Ittihad dan timbalannya berada di ibu negara Sepanyol untuk menandatangani Benzema secara rasmi dalam rekod perpindahan Real Madrid.

Benzema dilaporkan telah bersetuju perjanjian dua tahun dengan kelab itu.

Benzema menjulang lima Liga Juara-Juara, empat gelaran La Liga dan tiga piala liga bersama Real.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!