Pulau Pinang sah bubar DUN 10 hari terakhir Jun

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh 10 hari terakhir pada bulan ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bagaimanapun kerajaan negeri belum mempunyai tarikh yang tetap untuk diumumkan dalam masa terdekat.

"Mungkin 10 hari terakhir tetapi tarikh belum ada lagi. Jika Majlis Presiden boleh buat satu keputusan, kita akan ikut.

"Jika tidak ada keputusan, maka Pulau Pinang akan tetap dengan keputusan kita iaitu bubar pada akhir Jun," katanya kepada media selepas hadir merasmikan Interactive Edutainment Programme di Hospital Gleneagles di sini pada Isnin.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang berkata, beliau berharap dapat mengumumkan tarikh pembubaran DUN Pulau Pinang selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) yang terakhir.

"Mesyuarat terakhir akan menentukan tarikh pembubaran.

"Kita ada dua hingga tiga mesyuarat (MMK) lagi," katanya.

Ditanya sama ada Pulau Pinang akan membiarkan sehingga tempoh penggal berakhir secara automatik pada Julai, Kon Yeow berkata, perkara itu tidak mendatangkan masalah kepada kerajaan negeri.

"Sebenarnya kita tidak ada masalah kerana memang sudah sampai ke akhir penggal dan seperti dijanjikan awal tahun, pembubaran DUN akan berlaku pada penghujung di bulan Jun," katanya.

Sebelum ini, Kon Yeow mengumumkan bahawa Kerajaan Pulau Pinang akan membubarkan DUN pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun ini bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Kata beliau, Pulau Pinang akan tetap dengan perancangan awal seperti sebelum ini iaitu akan membubarkan DUN pada minggu terakhir bulan ini.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini juga berpendapat PRN di enam negeri itu perlu dijalankan serentak seperti yang dicadangkan beberapa pihak sebelum ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, langkah itu bagi memudahkan urusan SPR termasuk penyelarasan petugas dalam memastikan proses pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di enam negeri itu berjalan lancar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!