'Setiap hari ada yang meminta'

Fazliyaton menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan hasil derma orang ramai kepada Asnaf Food Bank.
Fazliyaton menyampaikan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan hasil derma orang ramai kepada Asnaf Food Bank.
A
A
A

KOTA BHARU - "Sedihnya... setiap hari ada yang meminta," kata Ketua Asnaf Food Bank, Fazliyaton Daud mengenai asnaf yang memerlukan makanan dan barangan harian.

Fazliyaton memberitahu, dalam tempoh beberapa hari nama penerima bertambah dan ramai yang memohon kerana tekanan kewangan dan bebanan hidup.

Menurut beliau, sehingga kini seramai 3,018 asnaf disenaraikan dan meningkat setiap hari selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Lebih menyedihkan ada dalam kalangan ibu yang memohon susu formula kerana tidak dapat membekalkan susu badan kepada bayi akibat masalah kekurangan zat," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Justeru jelas beliau, program yang bermula ketika PKP itu diteruskan sehingga kini kerana mahu membantu mereka yang memerlukan.

Jelasnya, Asnaf Food Bank yang bertujuan mengurangkan kelaparan akan membantu paling maksimum lima bulan untuk satu keluarga tetapi bergantung kepada tempoh keperluan mereka.

Persatuan itu berusaha meletakkan tabung di 10 lokasi di beberapa daerah di Kelantan termasuk stesen minyak dan pasar raya yang secara tidak langsung memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kewujudan tabung makanan berkenaan.

"Setakat ini kita mempunyai tabung di Tanah Merah, Kota Bharu dan Bachok.

Bakul makanan yang dikumpulkan untuk disampaikan kepada golongan memerlukan.
Bakul makanan yang dikumpulkan untuk disampaikan kepada golongan memerlukan.

"Kami memerlukan kerjasama orang ramai yang prihatin dengan nasib asnaf dan keluarga miskin dalam keadaan ekonomi menghimpit," katanya.

Tambah Fazliyaton, makanan yang sangat diperlukan ketika ini ialah keperluan asas termasuk beras, gula, minyak dan telur tetapi kumpulan itu berusaha menambah bekalan seperti ayam dan makanan kering lain.

Beliau yang juga Pengerusi Pertubuhan Cakna Asnaf Kelantan memberitahu, kumpulan mereka akan melawat dan menghantar keperluan selain meminta asnaf terbabit mengambil sendiri di stor pengumpulan barang kering.

"Kami akan bertemu bagi mendapatkan kepastian bahawa mereka benar-benar memenuhi kriteria sebagai penerima," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!