Pasangan suami isteri bungkus dadah diberkas
IPOH - Sepasang suami isteri antara tiga individu yang ditahan polis selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di Manjung dan Kampar pada Ahad.
Serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kampar itu berjaya merampas 14.53 kilogram (kg) dadah bernilai RM103,362.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pasangan berusia 28 dan 29 tahun itu dipercayai aktif membungkus dadah untuk diedarkan pasaran tempatan negeri ini sejak awal tahun 2023.
Menurut beliau, polis merampas heroin dianggarkan seberat 7kg dan 3kg ganja bernilai RM64,570 bersama peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah.
"Tindakan diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana sebuah kereta, tujuh rantai, enam cincin, empat pasang anting-anting dan sebentuk subang hidung disita.
"Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek didapati negatif dadah selain tidak mempunyai rekod lampau," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Mohd Yusri berkata, serbuan kedua di sebuah rumah di Desa Lawan Kuda, Gopeng, Kampar membawa penahan seorang lelaki berusia 36 tahun.
"Hasil pemeriksaan menemui serbuk ecstasy seberat 2.7kg, kafein (1.7kg), 22 gram methamphetamine, 21 gram heroin, 15 biji pil eramin 5 dan 11 biji pil ecstacy bernilai RM38,792.
"Berdasarkan siasatan suspek mempunyai 17 rekod lampau dalam dadah dan jenayah itu didapati kembali aktif dalam pengedaran dadah sejak sebulan lalu," katanya.
Tambah beliau, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!