'Jerit ayang sebelum hilang'

Mayat Mohd Faizal ditemui pada Isnin selepas usaha pencarian dilakukan sepasukan anggota penyelamat. Foto: Bomba Selangor
Mayat Mohd Faizal ditemui pada Isnin selepas usaha pencarian dilakukan sepasukan anggota penyelamat. Foto: Bomba Selangor
A
A
A

SEPANG - "Dia sempat menjerit memanggil saya. Tangannya melambai seperti meminta tolong. Itu kali terakhir saya lihat suami sebelum dia tinggalkan saya selamanya" hiba Nur Fatihah Mohamad Yusoff, 26.

Kejadian di Pantai Bagan Lalang, di sini pada Ahad itu telah meragut nyawa Mohd Faizal Mahasan, 30, selepas cuba menyelamatkan dua beradik perempuan yang lemas.

Menceritakan detik itu, Nur Fatihah berkata, dia datang ke Pantai Bagan Lalang berdua dengan suaminya (mangsa).

"Sehari sebelum kejadian, suami mengajak saya untuk berjalan lihat sunset (matahari terbenam).

"Dia kata jom kita honeymoon (bulan madu) berdua. Malam itu juga dia pergi beli tikar dan minta saya buat kuetiau goreng untuk makan sama ketika berkelah.

"Keesokannya (hari kejadian) kami bertolak ke Pantai Bagan Lalang dari Puchong Perdana dan sampai kira-kira jam 1 tengah hari. Sebelum itu, suami sempat menjamah kuetiau goreng yang diinginnya," katanya dalam nada hiba ketika ditemui di lokasi kejadian pada Ahad.

Tambah Nur Fatihah, ketika kami berehat tiba-tiba suami mengajaknya untuk melihat orang mencari kepah.

Nur Fatihah (duduk) setia menanti usaha mencari suaminya yang hilang selepas lemas di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada Ahad.
Nur Fatihah (duduk) setia menanti usaha mencari suaminya yang hilang selepas lemas di Pantai Bagan Lalang, Sepang pada Ahad.

Kata Nur Fatihah, dia kemudian ikut kehendak suaminya dan berjalan kira-kira 100 meter sebelum melihat sekumpulan kanak-kanak mandi di lokasi berkenaan.

"Tidak lama kemudian kami melihat ada dua pemancing melambai ke arah kami beritahu ada dua kanak-kanak lemas. Waktu itu, saya tersangkut dalam selut dan bila toleh ke belakang, suami saya lari sepantas mungkin dan terjun untuk mencapai dua kanak-kanak itu.

"Itu terakhir dia jerit panggil saya 'ayang' dengan bercampur air. Dua tangannya lambai seperti meminta tolong sebelum terus hilang," ujar wanita berasal dari Pahang itu.

Menurutnya, semua kejadian dilihatnya dan suami hilang depan mata.

Menceritakan perubahan tingkah laku suaminya yang mesra disapa sayang, kata Nur Fatihah, setiap kali pulang kerja suaminya suka buat mimik muka yang buat dirinya tergelak.

Pengarah Bomba Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sepang dikejarkan ke lokasi selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.34 petang, Ahad.

Dalam kejadian itu, dua beradik perempuan mangsa lemas dikenali Asya Tasnim Muhammad Zafifi, 9, dan Aris Noraini Muhammad Zafifi, 7, disahkan meninggal dunia.

Mayat dua kanak-kanak itu ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian sebelum dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diteruskan pada Isnin kemudian berjaya menemui mayat Mohd Faizal kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian pada jam 9.35 pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!