'Amer beri respons positif labur di Malaysia' - Ismail Sabri
SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melakukan lawatan ke pejabat Amer International Group (Amer) di Shenzhen, China.
Menerusi hantaran di Twitter pada Isnin, Ismail turut berkongsi video berdurasi 51 saat mengenai lawatannya ke syarikat berkenaan.
Ketibaan beliau disambut oleh Presiden Perancangan Strategi Amer, Zhou Xiaohu dan Pengurus Besarnya, Chen Jimeng.
Hadir sama, Presiden Persatuan Pembangunan UAV Malaysia, Datuk Lester Tay dan wakil Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Guangzhou, Adnan Aboo Bakar.
"Saya melawat pejabat (Amer) di Shenzhen, China.
"Syarikat multinasional (MNC) berkenaan merupakan firma yang keempat terbesar di China dan berada di kedudukan ke-76 dalam Fortune 500," ujarnya.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, perusahaan utama Amer adalah dalam bidang mineral dan semikonduktor.
"Saya menjemput syarikat ini untuk datang melabur di Malaysia kerana negara kita adalah pengeluar utama semikondoktur dunia serta melabur dalam industri-industri lain.
"Mereka (Amer) memberikan respon yang sangat positif," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!