Lebih 16,000 jemaah haji sudah berada di Tanah Suci
MAKKAH - Sejumlah 16, 863 jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci meliputi 11,294 daripadanya berada di Makkah, manakala bakinya 5,569 berada di Madinah.
Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, semua 12 hotel di Makkah yang telah diperuntukkan untuk jemaah haji muassasah juga telah pun menerima jemaah dan beroperasi dengan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan.
Katanya, penerbangan yang membawa jemaah ke Tanah Suci juga telah melepasi peringkat separuh jumlah penerbangan apabila semua 50 penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Madinah telah selesai.
“Penerbangan terakhir iaitu KT57 telah tiba di Madinah pada awal pagi 4 Jun. Bagi penerbangan ‘feeder’ dari tujuh stesen berlepas selain KLIA, tiga stesen iaitu Alor Setar, Kota Bharu dan Kuala Terengganu telah lengkap penerbangannya,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan operasi haji di Hotel Abraj Al Janadriyah pada Ahad malam.
Mengulas mengenai keadaan semasa di Makkah, Syed Saleh menasihatkan jemaah haji supaya menjaga kesihatan masing-masing kerana cuaca panas yang berlaku ketika ini sudah meningkat julat suhu kepanasannya.
Katanya, jika dibandingkan julat suhu dua minggu lalu ialah 38 darjah Celsius hingga 41 darjah Celsius, meningkat julatnya kepada 42 darjah Celsius hingga 46 darjah Celsius dan dijangka bertambah pada hari Wukuf.
“Kita faham ada jemaah yang giat melakukan ibadah dengan berulang-alik ke Masjidil Haram, pada masa sama mereka perlu peka dengan suhu ini dan jangan terdedah kepada cuaca panas secara langsung.
“Jemaah perlu dapatkan rehat secukupnya, jaga makan kerana ada 23 hari lagi sebelum hari Wukuf, jemaah perlu jaga kesihatan, makan dengan teratur untuk menghadapi aktiviti Masyair yang mencabar,” katanya.
Ujarnya, dalam suasana kehadiran jemaah haji dari negara lain yang makin bertambah, jemaah haji Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka supaya dapat mengelakkan jangkitan penyakit lain.
Jemaah haji juga katanya perlu mendapatkan rawatan awal jika mengalami sebarang penyakit dan tidak perlu risau untuk ke klinik kerana semua jemaah akan dipastikan dapat mengerjakan haji.
Mengulas mengenai jumlah pesakit di hospital, sejumlah 31 pesakit sedang dirawat di Pusat Rawatan TH dan lima pesakit di Hospital Arab Saudi.
Kesemua pesakit itu sedang menerima rawatan jangkitan paru-paru, sakit kulit, sakit otot dan sendi serta kesemuanya dalam keadaan stabil.
Pada tahun ini 31,600 jemaah haji akan menunaikan Rukun Islam kelima itu dengan penerbangan terakhir berlepas pada 21 Jun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!