8 termasuk 7 pesilat cedera ringan MPV dinaiki langgar lori
ALOR GAJAH - Lapan lelaki termasuk tujuh pesilat cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Proton Exora dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lori di KM221 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku kira-kira 5.10 pagi ketika kesemua ahli Silat Olahraga Ledang Tangkak itu dalam perjalanan pulang dari pertandingan di Ara Damansara, Kuala Lumpur.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Exora berkenaan yang berada di lorong paling kiri telah melanggar belakang sebuah lori, namun lori itu tidak dapat dikenal pasti kerana telah meneruskan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ketika kejadian semua penumpang yang berusia 16 hingga 21 tahun itu sedang tidur.
Menurutnya, kesemua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah dan kemalangan sedang disiasat lanjut mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Arshad berkata, seorang pemandu lori membawa muatan air batu dan dua penumpang bas cedera ringan dalam kemalangan di KM220 arah selatan di lebuh raya sama, kira-kira 2.45 pagi Isnin.
Beliau berkata, kemalangan itu berlaku di lorong paling kiri apabila bas yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Singapura itu cuba mengelak lori terbabit yang dipercayai sedang bertukar lorong dari laluan kecemasan ke laluan kiri.
"Bas itu terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori yang menyebabkan lori itu terbalik ke dalam longkang tepi lebuh raya,” katanya.
Menurut Arshad pemandu lori bersama dua penumpang bas dibawa ke Hospital Melaka manakala kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!