Malaysia maju, membangun bawah naungan Agong - Komuniti Diplomat

KUALA LUMPUR, 5 Jun -- Pemangku Dekan Kor Diplomatik di Malaysia Manuel Balaguer Salas, yang juga Duta Argentina ke Malaysia berucap pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
KUALA LUMPUR, 5 Jun -- Pemangku Dekan Kor Diplomatik di Malaysia Manuel Balaguer Salas, yang juga Duta Argentina ke Malaysia berucap pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia telah mencapai kemajuan dan pembangunan yang luar biasa, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pemangku Dekan Kor Diplomatik di Malaysia, Manuel Balaguer Salas, yang juga Duta Argentina ke Malaysia berkata, pemerintahan Al-Sultan Abdullah sentiasa dilandasi kebijaksanaan, dedikasi, dan komitmen yang tinggi terhadap kebajikan rakyat Malaysia.

Selain itu, beliau berkata kepimpinan Seri Paduka Baginda juga telah memperkukuhkan hubungan diplomatik antara Malaysia dengan negara-negara di seluruh dunia, sekali gus dapat memupuk kerjasama, persefahaman dan saling menghormati.

"Kami berterima kasih atas usaha Baginda yang tidak berbelah bahagi untuk mengekalkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini dan menjangkaui sempadan,” katanya dalam ucapan mewakili Kor Diplomatik di Malaysia pada Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara pada Isnin.

Salas berkata, semasa pemerintahan Al-Sultan Abdullah sejak Januari 2019, Malaysia telah diuji dengan pelbagai fasa politik yang mencabar.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Seri Paduka Baginda telah menunjukkan keyakinan dan ketetapan yang tinggi untuk kekal mendukung prinsip-prinsip keadilan dan demokrasi serta sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat cabaran lain pada masa depan seperti kelembapan ekonomi dunia, perubahan iklim, migrasi, keselamatan siber, kemiskinan, kecerdasan buatan dan keselamatan antarabangsa.

"Dalam hal ini, komuniti diplomatik di Malaysia bersedia untuk bekerjasama rapat dengan Tuanku, kerajaan Malaysia dan rakyat Malaysia,” katanya.

Sebelum mengakhiri ucapan, Salas menyampaikan ucapan daripada Kor Diplomatik di Malaysia, semoga Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dikurniakan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan dikabulkan segala aspirasi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!