Kopsya cadang terbitkan sukuk berjumlah RM2 bilion
KOPERASI Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (Kopsya) bercadang untuk menerbitkan sukuk berjumlah RM2 bilion bagi memenuhi pembiayaan koperasi yang tidak mencukupi.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sejak 10 tahun ditubuhkan, sebanyak 130 koperasi telah diluluskan yang memerlukan peruntukan RM1 bilion.
Bagaimanapun menurutnya, daripada jumlah tersebut, RM680 juta telah diluluskan dan kekurangan dana sebanyak RM320 juta.
“Ini sebab kita akan menerbitkan sukuk untuk memenuhi keperluan itu bagi menjayakan pelbagai aktiviti yang dilaksanakan oleh koperasi.
“Ini termasuk syarikat besar untuk pembiayaan pinjaman dan pembiayaan projek menerusi beberapa sektor yang telah diputuskan termasuk peruncitan, pemborongan, pelancongan, kesihatan, hartanah dan lain lagi yang akan dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan ke sembilan Kopsya di Pejabat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), pada Isnin.
Tambah beliau, tiga bank terlibat dengan penerbitan tersebut dan sedang dimuktamadkan oleh ahli lembaga Kopsya sebelum dibawa kepada Suruhanjaya Koperasi untuk mendapatkan kelulusan.
Jelasnya yang juga Presiden Angkasa, penerbitan tersebut disasarkan pada hujung tahun ini atau awal tahun hadapan.
Menurut Abdul Fattah, sekiranya diluluskan, masalah pembiayaan modal, dana di Kopsya akan diatasi dengan adanya sumber pembiayaan modal daripada sukuk.
“Sukuk ini berperingkat. Jadi kita akan habis sukuk dalam masa enam bulan dan selepas itu akan buka kepada pelabur luar mahupun institusi kewangan.
“Kalau tidak, hasrat Kopsya untuk menjadi sebuah institusi koperasi yang beri pembiayaan kepada koperasi lain mungkin tidak dapat capai,” ujarnya.
Dalam masa sama, menurut beliau, Kopsya turut mensasarkan 3,000 koperasi akan mendaftar menjadi ahlinya pada 2027.
Jelas Abdul Fattah, Kopsya turut mensasarkan untuk menambah modal saham koperasi daripada minimum RM1,000 kepada yang lebih besar.
Tambahnya, ia supaya lebih banyak dana dapat dikumpul dan seterusnya boleh diberikan kepada permohonan yang belum selesai.
“Aktiviti utama Kopsya adalah menyediakan kemudahan pembiayaan kepada koperasi untuk menjalankan aktiviti perniagaan.
“Untuk makluman, daripada 15,315 koperasi yang berdaftar, sebanyak 1,600 telah pun menjadi ahli Kopsya. Lebih kurang 10 peratus,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!