KJ pertimbang tubuh parti baharu
SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mempertimbangkan untuk menubuhkan parti baharu disebabkan pasaran politik yang agak tepu.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sejak beberapa minggu ini beliau melihat ada kebarangkalian untuk membuka parti lain.
"Saya lihat jika kita dapat permulaan kedua dalam politik, kenapa tidak permulaan itu 'on our own terms' (mengikut syarat kita sendiri)," katanya dalam program Keluar Sekejap pada Isnin.
Tambah Khairy, menyertai parti baharu memerlukan beliau untuk menyesuaikan diri dengan cara parti tersebut dalam melakukan sesuatu, yang mungkin tidak sejajar dengan prinsipnya.
Ujarnya lagi, beliau terpaksa membuat pelarasan serupa apabila menyertai UMNO.
"Kalau kita masuk mana-mana rumah (parti) perlu menyesuaikan diri dengan adat resam kediaman itu dan tidak mungkin ia 100 peratus seperti apa yang kita kehendaki.
"Seperti UMNO, saya tidak kesal menyertai dan memilihnya tetapi saya percaya kena sesuaikan diri," jelasnya.
Pada masa sama, Khairy berkata, jika menubuhkan parti politik, ia mempunyai risiko yang tinggi seperti kehilangan wang deposit dan diketawakan seperti yang berlaku kepada Pejuang.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa penubuhan parti baharu mungkin akan mendatangkan kepuasan kerana melakukannya dengan syarat sendiri.
"Jadi kalau kita buat parti sendiri, kita kena bersedia untuk tidak memenangi beberapa pilihan raya, tetapi satu hari nanti siapa tahu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!