Lelaki pengsan ketika daki Gunung Lambak meninggal dunia
KLUANG - Seorang lelaki yang diselamatkan oleh anggota bomba setelah pengsan pada ketinggian 800 meter di Gunung Lambak pada awal pagi Isnin, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dalam perjalanan ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.
Menurut, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, siasatan awal hasil temubual bersama isteri mangsa, Ko Meh Cheng, 50, telah memaklumkan Wei Peng dan dirinya telah pergi ke Gunung Lambak untuk aktiviti mendaki gunung.
Bagaimanapun katanya, dalam perjalanan mendaki Wei Peng telah mengadu sakit dada dan pada ketinggian 800 meter, tiba-tiba suaminya itu terus jatuh pengsan.
“Bantuan awal telah diberikan oleh petugas hospital yang turut mendaki gunung di lokasi (CPR) ke atas Wei Peng yang juga merupakan bapa kepada dua anak itu.
“Bagaimanapun Meh Cheng, telah dimaklumkan suaminya itu telah meninggal dunia ketika menerima rawatan dalam ambulans menuju ke hospital.
“Kita klasifikasikan kematiannya, sebagai mati mengejut,” katanya.
Tambah Bahrin, mayat Wei Peng tetap dihantar ke hospital bagi tujuan bedah siasat yang dijangka dilakukan pada Selasa.
Untuk rekod, Wei Peng sebelum itu turut menerima rawatan bantuan pernafasan daripada Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PBK) II, Jusoh Mohd Salleh, dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, selain dibawa turun ke kaki gunung menggunakan basket stretcher.
Sementara itu, di lokasi sama pihak bomba berjaya menyelamatkan tiga beranak termasuk seorang kanak-kanak yang tersesat ketika mendaki Gunung Lambak, pada petang Ahad.
Menurut Komander Operasi BBP Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Saiful Fadly Karim, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.24 petang.
Katanya, sepasukan anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian.
"Tiga mangsa berkenaan yang merupakan satu keluarga telah sesat beberapa jam semasa mendaki Gunung Lambak. Pencarian dilakukan pihak bomba bersama agensi lain dengan dibahagi kepada dua kumpulan.
"Pasukan penyelamat mengesan lokasi terkini mangsa menggunakan aplikasi WhatsApp pada jarak kira-kira 400 meter dari kaki gunung.
"Mangsa seorang lelaki dewasa, Loh Yeok Keong, 56, wanita dewasa, Lok Siew Koon, 53, dan kanak-kanak lelaki, Lok Hong Sheng,12, dijumpai dalam keadaan yang selamat pada jam 11 malam Ahad pada jarak kira-kira 500 meter dari Basecamp Talula Hill Resort," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!