Operasi SAR kesan kanak-kanak dikhuatiri lemas bersambung esok
IPOH - Misi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berusia lapan tahun yang dikhuatiri lemas di Lubuk Gelap, Simpang 4, Tanjung Malim yang masuk hari ketiga hari ini masih menemui jalan buntu dan terpaksa dihentikan jam 6.30 petang Isnin.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak,Sabarodzi Nor Ahmad berkata, misi SAR yang disertai 24 anggota bomba dan dua anjing pengesan itu akan disambung pagi esok.
"Kawasan pencarian diluaskan sepanjang lima kilometer dan kaedah river downstream,surface searching, tensionel diagener, stream searching serta selaman telah dilakukan oleh pasukan mencari dan menyelamat termasuk bantuan dari unit K9 yang mana telah melakukan pencarian di lubuk-lubuk sepanjang ke jambatan besi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Katanya, operasi pencarian juga melibatkan dua rafting boat dan wheely bagi mengesan mangsa yang berasal dari Sarawak itu.
Terdahulu, Sabarozi berkata, mangsa Edward Grang Jenggut ke lokasi tersebut untuk berkhemah bersama keluarganya sempena cuti sekolah minggu lepas dan sepatutnya pulang pada petang hari kejadian.
Pada Sabtu, bomba menerima maklumat mangsa dikhuatiri lemas ketika mandi di sungai dengan berpakaian set baju renang berwarna hitam bertompok hijau ketika hilang pada jam 5.06 petang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!