Ancelotti terkejut keputusan Benzema
KEPUTUSAN Karim Benzema meninggalkan Real Madrid selepas 14 tahun setelah meraih pelbagai kejayaan disifatkan satu kejutan.
Biarpun begitu pengendali kelab LaLiga itu, Carlo Ancelotti tetap menegaskan bahawa pemenang Ballon d'Or berhak untuk memilih yang terbaik untuk kariernya.
“Pemergiannya sesungguhnya sesuatu mengejutkan semua orang, namun ia mesej yang perlu difahami. Ia adalah keputusan saat akhir.
“Semalam, dia berlatih seperti biasa, dan hari ini dia mengambil keputusan ini. Kami menerimanya. Saya bercakap dengannya pagi ini, dan dia berkata dia akan pergi dan saya faham.
“Dia telah memikirkannya dengan matang dan keputusannya membentuk sebahagian daripada peralihan kelab ini, akan diteruskan tahun depan.
“Kami mempunyai masa untuk memikirkan apa yang perlu kami lakukan. Kami akan mempunyai skuad kompetitif tahun depan,” kata Ancelotti.
Benzema menjadi peneraju serangan Real Madrid selepas Cristiano Ronaldo pergi ke Juventus pada 2018, setelah menyertai gergasi Sepanyol itu dari kelab Ligue 1, Olympique Lyonnais pada 2009.
Benzema telah menjaringkan lebih 350 gol untuk Real untuk menduduki tempat kedua dalam senarai penjaring sepanjang zaman kelab di belakang Ronaldo.
Bintang Perancis itu menamatkan kariernya di ibu negara Sepanyol dengan rekod 25 trofi bersama Los Blancos termasuk lima Piala Eropah, empat kejuaraan LaLiga dan tiga Piala Raja Sepanyol.
Penyerang berusia 35 tahun itu akan meninggalkan Real sebagai ejen bebas, dikaitkan dengan perpindahan ke kelab Arab Saudi, Al Ittihad.
“Saya ucapkan selamat tinggal kepadanya yang juga antara seorang pemain terhebat dunia dan seorang penyerang terbaik. Kami semua berterima kasih kepadanya atas segala yang dia lakukan untuk kelab ini.
“Dia adalah seorang tokoh legenda yang tidak dapat dilupakan, dan dia akan kekal selama-lamanya dalam ingatan kelab ini,” kata Ancelotti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!