Wacana ke-400 kejayaan luar biasa
SHAH ALAM - Wacana Sinar Harian Siri ke-400 merupakan satu kejayaan luar biasa untuk pasukan penerbitan program ini, kata Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.
Menurutnya, tidak banyak program yang disiarkan melalui platform digital mampu bertahan lebih 12 tahun sehingga berjaya menerbitkan 400 episod.
“Wacana bukan saja merupakan trademark program bual bicara nombor satu Sinar Harian.
“Bahkan, ia juga program yang membawa perubahan dan anjakan paradigma dalam pengisiannya.
“Tidak banyak program yang berani menampilkan pemimpin kerajaan dan pembangkang di atas satu pentas,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelas Zamri, berpaksikan idea telus dan tulus maka akhbar ini berani membawakan apa jua tajuk, parti, perjuangan termasuk ideologi. Beliau turut yakin bahawa Wacana Sinar Harian boleh bertahan sehingga 1,000 episod kerana sambutan luar biasa yang diterima daripada penonton setiap minggu.
“Siapa dapat melupakan Wacana Sinar ke-53 bertajuk, Adakah Tun Mahathir Terlalu Tua Untuk Jadi PM pada tahun 2018?
“Itulah penangan Wacana Sinar yang kini menjadi ikutan dan contoh penerbitan lain,” ujarnya. Beliau juga berharap agar program berkenaan dapat terus bersiaran dan mampu mendidik anak bangsa supaya cakna dalam isu politik, ekonomi dan sosial.
Wacana Sinar Harian Siri ke-400 yang berlangsung pada Selasa akan menampilkan empat pemimpin utama politik negara iaitu Presiden Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa dan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi) Pusat, Tan Sri Rahim Tamby Chik.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu juga turut mengundang Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Sharkar Shamsuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat, Nor Azrina Surip.
Wacana siri pertama berlangsung pada 11 Februari 2011, yang dikendalikan oleh Kamarul Bahrin Haron, bertajuk: Daftar Pengundi: Wajarkah Diwajibkan? bersama panel jemputan iaitu Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh, Timbalan Setiausaha (Operasi) Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Noordin Che Ngah dan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Hamdan Adnan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!