Anak kecil tak perlulah pakaikan emas

Sejak Ahad lepas, kecoh tentang rakaman video tular memaparkan seorang wanita yang mencuri rantai leher kanak-kanak perempuan di tapak Karnival Jom Heboh Stadium Seksyen 13, Shah Alam. - Foto media sosial
Sejak Ahad lepas, kecoh tentang rakaman video tular memaparkan seorang wanita yang mencuri rantai leher kanak-kanak perempuan di tapak Karnival Jom Heboh Stadium Seksyen 13, Shah Alam. - Foto media sosial
A
A
A

SEJAK Ahad lepas, kecoh tentang rakaman video tular memaparkan seorang wanita yang mencuri rantai leher kanak-kanak perempuan di tapak Karnival Jom Heboh Stadium Seksyen 13, Shah Alam.

Kebetulan si perakam adalah ibu saudara kanak-kanak berkenaan yang pada mulanya tidak perasan insiden tersebut.

Sedih juga Merak Jalanan tengok wajah anak berusia empat tahun itu, naif dan tak tahu apa yang sedang berlaku, walaupun dalam video kelihatan seperti dia perasan ada berlaku 'pergerakan' di belakangnya.

Syukurlah pasukan polis kita memang terbaik dan cekap buat kerja. Hari yang sama juga penjenayah yang ada enam rekod lampau bersabit kes curi itu berjaya ditahan dan direman.

Dalam kes ini, apa yang Merak Jalanan nak sampaikan, ia kena jadi pengajaran sangat berguna kepada kita sebagai ibu bapa.

Pertamanya, kalau bawa anak-anak kecil ke kawasan yang dipenuhi orang ramai, kena pastikan mereka sentiasa diawasi dan berada di depan kita.

Jangan sedetik pun terlepas pandang sebab dalam sesaat kita leka, macam-macam hal boleh terjadi.

Kedua, kalau ada anak perempuan berusia bawah tujuh tahun, elak-elakkanlah sarungkan barang kemas sebab dalam usia mentah begini, mereka tidak peka dengan keadaan sekeliling.

Kalau nak pakaikan juga, mungkin dalam acara-acara istimewa di bawah pantauan ibu bapa.

Memang betul, ada juga ibu bapa yang sarungkan rantai dan gelang emas Korea saja kepada anak-anak mereka.

Tapi kalau dah nama penjenayah apa dia peduli, emas Korea pun disangka emas 916 atau 999!

Lebih malang lagi, waktu mencuri boleh pula tersalah potong. Tak pasal-pasal cedera leher dan tangan anak kita!

Kena ingat, setiap perkara buruk yang terjadi ada hikmah, tetapi sebelum ia berlaku, kita boleh mencegahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!