Pembangkang dibenar guna dewan orang ramai kecuali untuk politik
PARIT BUNTAR - Kerajaan Perak membenarkan semua pihak termasuk pembangkang menggunakan dewan orang ramai selagi mereka membayar sewa dan menjaga kemudahan dengan baik.
Pengerusi Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak Abdul Yunus Jamhari berkata mesyuarat Exco 20 Mac lalu membenarkan dewan orang ramai digunakan termasuk pembangkang kecuali untuk tujuan politik selain mesti mendapat kebenaran daripada ADUN kerajaan.
"ADUN kerajaan dan Penyelaras DUN diminta tidak menyekat pembangkang menggunakan dewan orang ramai untuk tujuan yang baik seperti program amal, jamuan raya serta bersukan.
"Pembangkang pula usah berselindung di sebalik penganjuran program ilmu untuk menyebar fitnah hingga menimbulkan perpecahan dalam masyarakat dengan mengundang tokoh-tokoh kontroversi dalam program mereka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Abdul Yunus berkata kerajaan negeri juga tidak membenarkan dewan orang ramai dijadikan markas pilihan raya atau mesyuarat parti termasuk di sekolah-sekolah serta memaksa penjawat awam hadir ke program yang berbaur politik dan kepartian.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!