Inter sudah sedia benam City
SIMONE Inzaghi menegaskan bahawa Inter Milan tidak takut berhadapan Manchester City kerana beliau sedang menyiapkan pasukannya untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara tersebut.
Inter akan bertemu City di Istanbul yang menjadi final Liga Juara-Juara pertama mereka sejak kali terakhir memenangi pertandingan itu 13 tahun lalu.
Namun, City di bawah kendalian Pep Guardiola berada di final Liga Juara-Juara kedua mereka dalam tempoh tiga tahun dan hadir ke perlawanan itu sebagai pilihan utama.
"Kami bercakap tentang perlawanan bola sepak, tidak ada ketakutan.
"Kami sangat menghormati mereka tetapi kami bangga bermain dalam final ini kerana amat mahukannya," katanya,
Inter perlu menyekat serangan City yang diketuai penyerang, Erling Haaland yang telah menjaringkan 12 gol di Eropah musim ini dan akan mendahului senarai penjaring terbanyak walau apa berlaku di Turkiye.
Alessandro Bastoni ialah salah seorang daripada tiga pertahanan tengah Inter yang akan ditugaskan untuk mengawasi Haaland, dan beliau berjanji akan menggunakan segala pengalaman mengawal pemain Norway itu.
"Anda takutkan pembunuh, bukan pemain bola sepak. Adalah satu kesilapan bercakap mengenai rasa takut. Ia bukan Haaland menentang Inter, ia Manchester City menentang Inter.
"Tiada rasa takut, hanya tahap ketegangan yang betul. Lebih daripada itu, ia kegembiraan... Saya tidak sabar untuk ke padang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!