Penurunan mendadak kadar defisit fiskal jejaskan ekonomi - PM
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Penurunan kadar defisit fiskal yang terlalu mendadak akan menjejaskan ekonomi terutamanya projek-projek pembangunan negara khususnya pendidikan, kesihatan dan prasarana desa, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berpendapat, penurunan defisit tidak harus terlalu mendadak dan mesti diturunkan ke paras yang boleh diterima seperti yang diumumkan sebelum ini.
"Kebijakan ekonomi dan Bank Negara Malaysia (BNM) juga akan menentukan kekuatan ringgit tetapi kita juga fikir kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang terlalu pantas ada kesan negatif terhadap peniaga-peniaga,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjawab soalan Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai kesan kemerosotan nilai ringgit kepada proses pemulihan ekonomi negara dan pendekatan yang akan digunakan untuk mengukuhkan mata wang tempatan itu.
Setakat ini, katanya kerajaan dan BNM lebih teliti dan berhemah dalam menaikkan kadar faedah dan perlu ada perimbangan dalam pendekatan yang harus dilakukan.
Mengulas mengenai penyusutan nilai ringgit, Perdana Menteri berkata, kejatuhan kadar pertukaran ringgit yang dialami pada tempoh terdekat ini sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dalam dolar Amerika Syarikat (AS).
"Sejak 31 Disember 2022, berbanding dolar AS, ringgit menyusut 3.8 peratus, yen Jepun merosot lebih enam peratus sementara dolar Australia, won Korea dan yuan China menyusut sekitar tiga peratus,” katanya.
Manakala kenaikan kadar faedah oleh bank pusat sejak Januari 2022 ialah 125 mata asas bagi ringgit, 380 mata asas (Singapura), 225 mata asas (Indonesia) dan 500 mata asas (AS), jelas Anwar.
"Singapura naikkan tinggi (kadar faedah) jadi kekuatan mata wang negara itu lebih ampuh,” katanya.
Mengenai kenaikan OPR pula, beliau berkata, kadar OPR ini diputuskan sepenuhnya oleh BNM sejak pemerintahan kerajaan sebelum ini kerana ia adalah undang-undang yang dibuat terdahulu.
"Cuma setakat ini dalam Kerajaan Perpaduan, baru sekali naik berbanding tahun lalu,” katanya.
Oleh itu, Anwar mengesa BNM supaya meneliti bukan sahaja isu monetari tetapi juga dasar fiskal serta keyakinan secara keseluruhannya.
"Yang berlaku sekarang ialah keyakinan pelabur dari sudut pelaburan suku tahun pertama menunjukkan pertumbuhan ekonomi itu meyakinkan dan kedudukan nilai ringgit masih terikat dengan kekuatan dolar AS,” jelasnya.
Dalam soal kebergantungan kepada dolar AS, perdana menteri berkata negara harus stabil, mempunyai dasar jangka panjang dan dasar fiskal yang bertanggungjawab supaya tidak memberi kesan kepada ekonomi domestik.
Beliau juga menyentuh mengenai gesaan penubuhan Dana Monetari Asia yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!