Peningkatan OPR bantu kukuhkan nilai mata wang negara - Anwar

Anwar ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
Anwar ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) akan membantu memperkukuhkan nilai mata wang negara.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenaikan OPR atau kadar faedah yang terlalu pantas akan mendatangkan kesan negatif kepada rakyat terutamanya peniaga.

“OPR ini dari masa kerajaan dahulu diputuskan sepenuhnya oleh BNM. Setakat ini, baru sekali naik. Tahun lalu empat kali naik.

"Kita harus akui bahawa kenaikan OPR ini membantu untuk mengukuhkan nilai mata wang negara," katanya di Dewan Rakyat semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada Selasa.

Beliau berkata demikian semasa soalan tambahan oleh Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) yang ingin mengetahui adakah OPR akan meningkat dalam tempoh terdekat.

Selain itu, Anwar memaklumkan bahawa kejatuhan kadar pertukaran ringgit yang dialami sebahagian besarnya didorong oleh pengukuhan dalam dolar Amerika Syarikat (AS).

Jelasnya, selain ringgit, keadaan yang sama turut dialami oleh mata wang utama dan serantau seperti yen Jepun, dolar Australia, won Korea, renminbi China, dolar Singapura dan peso Filipina.

“Walaupun terdapat mata wang jiran yang menunjukkan prestasi lebih kukuh berbanding dolar AS seperti Singapura dan Indonesia, namun negara tersebut telah mengetatkan dasar monetarinya dengan lebih agresif.

“Sejak Januari 2022, kenaikan kadar faedah oleh bank pusat adalah Ringgit 125 mata asas; Singapura 380 mata asas; Indonesia 225 mata asas; Amerika Syarikat 500 mata asas,” ujarnya.

Selain itu, tambah Anwar, kerajaan juga memilih untuk mengambil pendekatan mengurangkan defisit secara beransur-ansur iaitu daripada 5.6 peratus tahun 2022 kepada sasaran 5.0 peratus tahun 2023.

Jelasnya, penurunan kadar defisit tidak boleh dilakukan secara mendadak kerana akan menjejaskan projek pembangunan terutama pendidikan, kesihatan dan prasarana desa.

Dalam masa sama, Anwar turut menegaskan bahawa golongan T20 tidak akan menerima manfaat subsidi untuk elektrik dan haji meskipun kos sara hidup meningkat.

“Tidak boleh kurang subsidi untuk orang kaya? Ini apa punya dasar. Saya terpaksa ambil dari orang kaya supaya tidak bebankan orang miskin. Itupun kadar yang agak minimal,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!