Dua lelaki termasuk penjawat awam menyamar polis dicekup

Tangkap layar video tular suspek menyamar anggota polis cuba menahan sebuah kenderaan di KM 41.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara bersebelahan Exit Plaza Tol Sedenak, Kulai.
Tangkap layar video tular suspek menyamar anggota polis cuba menahan sebuah kenderaan di KM 41.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara bersebelahan Exit Plaza Tol Sedenak, Kulai.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis menahan dua daripada tiga lelaki yang didapati telah menyamar sebagai anggota polis sebagaimana video yang tular di laman sosial Facebook, pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kedua-dua lelaki warga tempatan berusia 43 dan 48 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai sekitar 6 petang Isnin, di kawasan perumahan di Permas, Kukup, Pontian.

Kamarul Zaman berkata, salah seorang suspek merupakan penjawat awam dan hasil semakan rekod jenayah mendapati dia tidak memiliki rekod jenayah, namun suspek kedua mempunyai rekod jenayah lampau bersabit kes dadah.

“Selain memberkas dua suspek tersebut, polis juga telah membuat rampasan beberapa barangan lain seperti satu baju pantulan cahaya, satu beacon light (mudah alih), satu lampu suluh fenixe35, satu headlight, kereta Honda City dan anak kunci.

“Kedua-dua suspek direman di Mahkamah Majistret Kulai, pada Selasa; bagaimanapun reman salah seorang suspek telah ditolak sementara seorang lagi suspek direman selama dua hari dan dalam masa sama, polis turut mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai masih bebas,” katanya.

Kereta dan barangan yang dirampas polis. - Foto Polis Johor
Kereta dan barangan yang dirampas polis. - Foto Polis Johor

Untuk rekod, kedua-dua suspek berkenaan ditahan susulan tular video yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook memaparkan dirinya dikejar oleh sebuah kereta yang menyamar sebagai pasukan polis ketika dalam perjalanan dari Singapura ke Genting Highlands melalui Lebuh Raya Utara Selatan menghala ke utara.

Semakan polis mendapati kejadian berkenaan dipercayai berlaku di Kilometer (KM) 41.5 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Utara bersebelahan Exit Plaza Tol Sedenak, Kulai.

Kesemua suspek dipercayai tiga lelaki, memakai pelitup muka dan menggunakan lampu beacon biru seakan pasukan polis telah membuat isyarat tangan agar mangsa memberhentikan kereta yang dipandu mangsa.

Kes disiasat di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!