Projek perumahan di KL wajib bina rumah mampu milik, PPR
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan menekankan dasar mewajibkan pembinaan rumah mampu milik atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) dalam semua projek perumahan yang diluluskan di Kuala Lumpur, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, sasaran sebelum ini untuk membina lebih banyak rumah mampu milik belum tercapai, justeru perubahan penetapan syarat itu bertujuan memastikan jumlah rumah berkenaan dapat ditingkatkan untuk keperluan rakyat tidak berkemampuan.
Perdana Menteri berkata, masalah itu dianggap serius dan di ibu negara, terdapat 3,000 permohonan untuk mendiami rumah mampu milik atau PPR dalam setahun, sedangkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hanya mampu menawarkan 300 unit dalam tempoh sama.
"Kita buat perubahan sekarang (dalam mesyuarat) yang saya pengerusikan dua bulan lepas untuk tidak meluluskan mana-mana projek perumahan (di Kuala Lumpur) sekiranya mereka (pemaju) tidak membina unit rumah mampu milik atau PPR dalam projek sama.
"Mengenai soal syarat permohonan PPR DBKL yang ketat, saya juga setuju dan saya minta DBKL buat sikit penyesuaian (terhadap syarat permohonan),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata, demikian bagi menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) berhubung syarat permohonan rumah PPR DBKL yang terlalu ketat sehingga golongan memerlukan seperti inidividu bujang yang kematian ibu bapa atau pemohon asal tidak layak membuat pemohonan baharu.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) sama ada berlaku pertindihan peranan pelbagai agensi perumahan, Anwar berkata, kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa Kabinet untuk menyeragamkan dan mengumpulkan semua agensi terlibat di bawah kelolaan kedua-dua timbalan perdana menteri.
" ... kecenderungan kita dahulu, sebaik ada masalah, kita tubuh agensi ... ada masalah lagi, kita tambah agensi. Padahal kerjanya dan hal yang sama ... maka, kita bawa semua agensi ini dan diselaraskan agar program perumahan untuk rakyat tidak bertindih,” katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!