Bengkel haram kena roboh
SUBANG JAYA - Tindakan pengusaha bengkel lori membina premis secara haram berhampiran pangsapuri di SS13 di sini mengundang padah apabila struktur yang dibina dirobohkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), pada Selasa.
Dalam operasi roboh yang bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari itu, blok premis dijadikan sebagai stor dan bengkel membaiki lori berkenaan dirobohkan sepasukan 40 anggota penguat kuasa MBSJ dan Polis Diraja Malaysia.
Pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, MBSJ menerima aduan daripada orang awam berhubung aktiviti pengusaha bengkel beroperasi secara haram sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, kawasan itu adalah dalam kawasan tanah kerajaan dan pemilik tanah mahupun penyewa pangsapuri dilarang membina premis bagi aktiviti perindustrian mahupun sebarang aktiviti komersial termasuk perusahaan bengkel.
"Saya difahamkan aktiviti ini sudah berlaku sejak beberapa tahun dan penduduk di sini juga ada menegur tetapi difahamkan mereka takut kerana dipercayai ada ugutan atau mereka merasakan mereka berada terlalu hampir dengan lokasi.
"Mereka juga merasakan keselamatan mereka tidak terjamin maka hari ini kita membuktikan bahawa MBSJ membantu dalam tindakan penguatkuasaan dan dilaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi perobohan pada Selasa.
Muhammad Azli berkata, pihaknya turut merobohkan beberapa struktur binaan lain termasuk stor dan tempat meletakkan kenderaan selain menyita sebuah tong RORO serta kepala lori terbiar dan mengalihkan sebuah kereta mewah dari kawasan berkenaan.
“Proses merobohkan semua premis berkenaan dilakukan secara berperingkat bagi membolehkan pemilik premis sementara berkenaan pindah selepas notis dikeluarkan kepada mereka pada minggu lalu iaitu pada 29 Mei lalu.
"Kita sudah beri notis pada 29 Mei dan notis itu adalah notis serta-merta yang dikeluarkan di bawah Akta Parit dan Bangunan 1974 atau Akta 133 yang boleh diberikan serta merta namun kita beri mereka yang terbabit masa sehingga hari ini," katanya.
Beliau menambah, MBSJ akan terus melaksanakan operasi sedemikian dari masa ke masa termasuk di kawasan komersial membabitkan lorong-lorong belakang di bangunan terbabit yang didapati terdapat pembinaan struktur haram.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!