Anwar kena ISA sebab perjuang kemiskinan di Baling - Saifuddin
SHAH ALAM - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak bercakap soal kemiskinan.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Tambun itu memperjuangkan isu kemiskinan sejak awal berkecimpung dalam arena politik.
“Mari kita renung fakta ini, kali pertama beliau (Anwar) dimasukkan ke dalam ISA sebab perjuangkan isu kemiskinan di Baling.
“Tamat belajar di Universiti Malaya terus buka Yayasan Anda di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Sekolah ini beri peluang kedua kepada pelajar yang rata-rata dari keluarga miskin.
“Minggu pertama menjawat jawatan Perdana Menteri, terus umum bantuan tunai kepada penanam padi yang umum tahu sangat dekat dgn kemiskinan,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebook.
Jelas Saifuddin Nasution, serangan Muhammad Sanusi kini hanya sekadar menutup kemarahan rakyat Kedah mengenai kepimpinannya yang sehingga kini tidak dapat menyelesaikan isu masalah air.
“Apa lagi cara beliau untuk alih kemarahan ini? soal beliau.
Saifuddin juga yakin bahawa rakyat tidak akan mudah termakan kenyataan naif Muhammad Sanusi itu.
Baru-baru ini, Muhammad Sanusi dilihat meremehkan komitmen Anwar untuk membasmi miskin tegar di Malaysia, dengan mendakwa perdana menteri ‘tidak tahu apa-apa’ tentang kemiskinan.
Jelas beliau, dakwaan berkenaan adalah disebabkan latar belakang Anwar yang lahir daripada keluarga UMNO dan mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar.
"Dia (Anwar) cakap pasal orang miskin, dia pernah miskin?
"Dia anak pemimpin UMNO Bapa dia ahli Parlimen, mak dia (anggota) Wanita Umno. Dia mengaji (belajar) di MCKK," katanya ketika berceramah dalam program kempen Perikatan Nasional di Tanjong Karang, Selangor malam Isnin,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!