Fasa 1 Lebuhraya Pan Borneo dijangka siap sepenuhnya 2025
KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan bahawa Fasa 1 bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sabah dan Sarawak dijangka siap sepenuhnya pada 2025.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, ini berdasarkan terdapat beberapa pakej kerja di kedua-dua negeri tersebut masih dalam pembinaan.
Jelasnya, di LPB Sabah dengan anggaran jarak keseluruhan 706 kilometer, ia dibahagikan kepada 35 pakej kerja dan 15 daripadanya telah dibuat pelantikan kontraktor.
Menurut beliau, pelantikan adalah bagi tujuan kerja-kerja pembinaan dan status kemajuan sehingga kini adalah 75 peratus siap.
“Secara keseluruhan, dua pakej kerja telah dibuka untuk pengguna jalan raya manakala baki 13 pakej kerja dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun 2025.
“Manakala status satu pakej kerja baharu iaitu Pakej Kerja 9 yang melibatkan laluan dari Serusop ke Pituru pula dijangka akan dilaksanakan seawal suku tahun kedua 2023, menjadikan keseluruhan 16 pakej kerja akan dilaksanakan buat masa kini,” katanya semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Mordi Bimol (PH-Mas Gading) yang ingin mengetahui status terkini berserta tempoh jangka siap pembinaan Projek LebuhRaya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak.
Menurut Abdul Rahman, bagi Fasa 1 LPB di Sarawak pula, satu pakej kerja iaitu pakej Telok Melano ke Sematan telah siap sepenuhnya pada bulan Januari 2019.
Jelasnya, status kemajuan pembinaan sehingga April 2023 bagi baki 10 pakej kerja dari Sematan ke Miri kini mencapai sehingga 95 peratus siap.
“Hampir keseluruhan jajaran akan siap pada November 2023 kecuali beberapa seksyen di Miri yang perlu direka bentuk semula dan hanya dapat disiapkan pada tahun 2025,” ujarnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Mei memaklumkan, kerajaan meletakkan sasaran projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak diselesaikan dengan kaedah laluan pantas atau ‘fast track’.
Anwar berkata, pembinaan Pan Borneo sudah berjalan terlalu lama dan perlu diselesaikan secepatnya untuk kebaikan rakyat kedua-dua negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!