Bekalan gula di empat negeri stabil

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 2,576 premis perniagaan telah diperiksa menerusi Ops Manis yang dilancarkan di empat negeri bermula 3 Mei sehingga 4 Jun lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, 60 aduan isu gula diterima dengan tujuh tindakan telah diambil menerusi pemantauan yang dibuat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah.

Menurut beliau, bekalan gula di pasaran tidak menunjukkan sebarang masalah bekalan yang kritikal, sebaliknya mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa.

Jelas Salahuddin, bagaimanapun, KPDN dengan kerjasama syarikat pengeluar gula tempatan secara berterusan mengambil tindakan dan inisiatif dalam membantu mempercepatkan pengedaran bekalan dari peringkat kilang kepada pemborong dan rantaian sehingga ke peringkat pengguna akhir.

"Ops Manis ini akan diteruskan dengan Ops Manis 2.0 sehingga 30 Jun ini di seluruh negara bagi memastikan bekalan dan pengedaran gula stabil bagi kegunaan rakyat.

"KPDN telah memutuskan mana-mana pihak yang melakukan tiga kesalahan berikut akan digantung lesen untuk siasatan dan jika terbukti kesalahan akan dibatalkan lesen dan disenarai hitamkan.

"Kesalahan itu meliputi menjual gula putih bertapis kasar dan halus secara bersyarat dengan barangan lain serta termasuklah dengan gula jernih; menyorok bekalan dan menjual melebihi harga kawalan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kata beliau, kerajaan melalui KPDN mengeluarkan arahan pengawal bekalan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan bersabit had jumlah pengeluaran dan edaran gula pasir putih bertapis kasar dan halus pek satu kilogram dan dua kilogram terhadap dua syarikat pengeluar gula tempatan iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR).

"Jumlah minimum pengeluaran dan edaran bulanan gula pasir putih bertapis (kasar dan halus) pek satu kilogram dan dua kilogram yang ditetapkan kepada MSM Malaysia Holdings Berhad adalah 24,000MT manakala 18,000MT untuk CSR.

"Arahan berkenaan juga telah dikeluarkan kepada pemborong utama kedua-dua syarikat pengeluar gula tempatan tersebut bagi memastikan gula pasir putih bertapis kasar dan halus yang diterima diedarkan segera kepada pelanggan.

"Pemantauan holistik dan terperinci dilaksanakan bagi memastikan keberadaan bekalan gula sentiasa stabil di pasaran," ujarnya,

Dalam pada itu katanya, kedudukan jumlah pengedaran gula berdasarkan pemantauan pada Mei ke atas syarikat MSM Malaysia Holdings adalah 28,243 MT bagi gula pasir putih bertapis (kasar dan halus) pek satu kilogram dan dua kilogram serta 772 MT bagi gula jernih.

Manakala bagi syarikat CSR pula mengedarkan 16,546 MT gula pasir putih bertapis (kasar dan halus) pek satu kilogram dan dua kilogram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!