Pembangkang kecoh tak setuju Laporan Audit Negara dibahaskan
KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat kecoh susulan ahli Parlimen pembangkang tidak bersetuju terhadap usul Laporan Audit Negara 2021 dibahaskan.
Lebih bertambah kecoh apabila ahli Parlimen daripada blok kerajaan pula menginginkan perkara tersebut dibahaskan di Dewan Rakyat bagi mengetahui ketirisan yang berlaku semasa pinpinan kerajaan ketika itu.
Menurut Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, laporan Ketua Audit Negara 2021 itu hanyalah dibentangkan di atas meja ahli Parlimen sahaja tanpa perlu dibahaskan.
“Semakan dan kajian menunjukkan sepanjang Dewan Rakyat di negara ini, tidak pernah laporan Ketua Audit dibentang untuk dibahaskan berdasarkan peruntukan Perkara 107 Fasal 1.
“Atas dasar itu, kami berpandangan bahawa usul untuk membolehkan laporan Ketua Audit Negara 2021 dibahaskan adalah bertentangan dengan peraturan mesyuarat dan Perlembagaan.
“Oleh itu, pembangkang mohon arahan untuk Yang di-Pertua Dewan Rakyat menyatakan apakah asas laporan Ketua Audit dibahaskan?” soalnya di Dewan Rakyat pada Selasa.
Perkara tersebut disokong Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dengan menyatakan laporan Ketua Audit Negara hanya perlu diperiksa dan diambil tindakan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) sahaja.
Jelasnya, usul tersebut telah menidakkan dan memperkecilkan tugas dan peranan PAC.
“Angkat usul persendirian. Bukan bawa usul yang bercanggah dengan peraturan mesyuarat,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah selaku Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, usul tersebut tidak dianggap relevan untuk dibahaskan memandangkan Ketua Audit Negara yang baharu masih lagi tidak dilantik.
“Jawatan tidak diisi, kita disini nak bahaskan berkenaan Laporan Audit Negara. Untuk bahaskan perkara ini, orang yang bertanggungjawab perlu ada untuk menjawabnya,” jelasnya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan bahawa usul tersebut wajar dibahaskan untuk mengetahui perbelanjaan negara ketika itu.
“Mengapa takut Laporan Audit Negara dibentangkan di Parlimen? Parlimen mesti telus. Perbelanjaan negara,” ujarnya.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pula mendakwa, pembangkang sengaja tidak mahu perkara tersebut dibahaskan kerana berlaku ketirisan sepanjang pentadbiran kerajaan di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Bagaimanapun, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong telah membuat keputusan supaya usul tersebut dibenarkan untuk dibahaskan.
Disebabkan itu, Takiyuddin telah mencadangkan supaya dapatan audit dan syor yang terkandung dalam laporan tersebut dapat diambil tindakan dengan serius oleh pihak terlibat sahaja.
Kesemua ahli Parlimen dari blok pembangkang sebulat suara berdiri sebagai tanda bersetuju terhadap usul yang dikemukan Takiyuddin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!