RUU Warga Emas dijangka dibentang di Dewan Rakyat tahun depan
KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) Warga Emas dijangka dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Raj Munni Sabu.
Beliau berkata, dalam usaha merealisasikan penggubalan akta khusus bagi warga emas itu, sebuah pasukan khas dilantik pada Mac lepas.
"Pasukan ini terdiri daripada pelbagai kementerian, badan-badan profesional, ahli akademik dan individu yang berpengetahuan serta berpengalaman dalam isu-isu berkaitan warga emas.
"Pasukan ini ditubuhkan bagi memastikan RUU ini dapat dibentangkan selepas digubal secara komprehensif dan kementerian sedang merangka (RUU itu) untuk bacaan pertama, kedua dan ketiga pada tahun hadapan," katanya pada sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) yang ingin tahu apakah pendekatan kerajaan untuk mewujudkan akta khusus bagi warga emas dan bila bercadang membentangkannya di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Raj Munni berkata, kandungan dan pendekatan RUU yang dicadangkan adalah hasil kajian dijalankan di lapangan, analisis perbandingan dengan negara lain dan menerusi sesi konsultasi temu bual mendalam bersama pelbagai pihak.
"Cadangan kandungan draf RUU warga emas ini adalah seperti melindungi kebajikan warga emas, melindungi hak asasi warga emas, mewujudkan sistem sokongan yang kukuh kepada warga emas dan penjaga.
"...ia disasarkan untuk bacaan kali pertama pada tahun 2024 berdasarkan perancangan garis masa dan prosedur penggubalan RUU khususnya melibatkan pihak berkepentingan," katanya.
Mengulas mengenai model bagi RUU tersebut, beliau berkata RUU itu akan mengambil kira sepertimana Akta Kanak-Kanak digubal pada tahun 2001 yang menekankan kepada kelangsungan hidup, perlindungan, pemuliharaan dan pemerkasaan.
Katanya, perbandingan dengan negara-negara Asia turut dilakukan seperti Vietnam, Thailand, Filipina, Indonesia dan India dalam memastikan model bagi RUU itu bersifat menyeluruh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!