Mike Pence akan bertanding jawatan Presiden AS 2024

Mike Pence - Foto AFP
Mike Pence - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Mike Pence mengemukakan dokumen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan pada Selasa, mengesahkan hasratnya untuk bertanding pemilihan presiden 2024, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pence dijangka mengumumkan perkara itu secara terbuka pada Rabu.

Ahli politik berusia 63 tahun itu akan mencabar bekas ketuanya, Donald Trump, untuk memperoleh pencalonan parti.

Pence pernah menjadi timbalannya dari 2017 hingga Trump meninggalkan Rumah Putih selepas kekalahan dalam pilihan raya 2020.

Selama bertahun-tahun, Pence bertindak sebagai timbalan yang setia kepada Trump, tetapi pergolakan yang berlaku selepas pilihan raya presiden 2020, mengakibatkan hubungan antara kedua-duanya menjadi renggang.

Pengikut-pengikut Trump menyerbu Capitol pada 6 Januari 2021 ketika Pence mengesahkan kemenangan Joe Biden.

Trump juga menghasut pengikutnya untuk mengancam Pence hingga beliau menyifatkan kenyataan Trump dan kelakuannya sebagai berbahaya.

Bagaimanapun, Pence kemudian enggan mendakwa Trump atas peranan beliau dalam serbuan ke Capitol, dengan alasan bahawa ia akan mencetuskan perpecahan.

Pilihan raya akan diadakan pada November 2024. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!