'Hanya sekeping surat', bapa luah kecewa terhadap hospital rehab
PUTRAJAYA - Seorang bapa kepada anak istimewa melahirkan perasaan kecewa terhadap perkhidmatan hospital rehabilitasi apabila gagal membuat janji temu untuk rawatan anaknya.
Pengguna Facebook bernama Khairul Azri berkata, dia tidak mampu lagi bersabar sehingga terpaksa meluahkan perasaan di laman sosial selepas janji temu semula anaknya di hospital berkenaan ditolak.
Perkara itu bertitik tolak akibat terlepas tarikh janji temu sebanyak dua kali kerana anaknya dimasukkan ke wad disebabkan pneumonia.
Dia telah menghubungi hospital untuk membuat janji temu baharu bagi rawatan anaknya, namun didakwa diminta untuk merujuk ke hospital asal.
"Aku kata ok, hendak buat macam mana. Anak aku masuk hospital sebab pneumonia, budak cerebral palsy (CP) seperti ini sememangnya common pneumonia," tulisnya.
Khairul memberitahu, dia kemudian ke hospital untuk mendapatkan surat rujukan, namun hospital terbabit mengatakan ia tidak diperlukan kerana telah tersedia di dalam sistem.
Selepas sebulan berlalu, sebaliknya terjadi selepas Khairul membawa anaknya ke hospital rehab apabila jururawat meminta surat rujukan ketika dia ke kaunter hasil untuk pendaftaran sebelum ke kaunter klinik pada pagi Selasa.
"Alasannya kena ada surat untuk semak kemajuan. Dia suruh aku balik datang hujung bulan. Lagi 20 hari," katanya.
Sebelum itu, dia turut meminta isterinya bercakap dengan jururawat tersebut melalui telefon berhubung perkara itu memandangkan ia bukanlah melibatkan kes baharu.
Tambah Khairul, pada akhirnya dia tidak dibenarkan masuk kerana tiada surat rujukan.
Terkilan dengan perkara itu, Khairul memberitahu, kakitangan hospital sepatutnya bertimbang rasa dan menggunakan budi bicara untuk membenarkan anaknya dirawat tanpa surat rujukan yang tidak diperlukan.
"Aku bersiap sejak jam 6 pagi, persiapan dilakukan berbulan-bulan, akhirnya tidak dapat masuk disebabkan sekeping surat yang tidak diperlukan pun," katanya.
Setakat jam dua petang, hantaran Khairul tersebut telah mendapat 5.9k tanda suka dan 1.8k kongsi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!