MATRADE bantu pacu eksport ke Jepun
PERBADANAN Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) membantu memacu eksport ke Jepun melalui penglibatan peringkat tinggi dengan syarikat Jepun menerusi misi perdagangan dan pelaburan pertama ke Jepun.
Objektif itu bagi mengukuhkan perdagangan selain meneruskan kerjasama ekonomi antara Malaysia serta Jepun yang diterajui Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dari 29 Mei hingga 2 Jun 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, Jepun kekal sebagai pasaran utama negara di Asia bagi syarikat Malaysia, sebagai rakan dagang keempat terbesar.
"Hasil daripada usaha proaktif MATRADE dalam mengatur penglibatan peringkat tinggi dengan sogo sosha (syarikat perdagangan am Jepun), misi perdagangan termasuk pelaburan ke Tokyo dan Osaka telah memperoleh perkongsian perniagaan dan peluang eksport yang penting," katanya.
MATRADE dalam satu kenyataan pada Selasa berkata. misi itu menggariskan mesyuarat berimpak serta penglibatan peringkat tinggi yang diatur oleh MATRADE dengan sogo sosha yang komited untuk meningkatkan perdagangan dan penyumberan bagi pelbagai produk termasuk perkhidmatan Malaysia berkualiti yang bernilai AS$458 juta (RM2.1 bilion).
Eksport yang ditawarkan adalah dalam bentuk tenaga, produk hijau dan mampan, minyak sawit, produk kayu, bahan serta produk kimia, barangan pengguna yang bergerak pantas dan halal termasuk perkhidmatan penjagaan kesihatan dan digital.
"MATRADE juga memainkan peranan penting dalam mengatur pertemuan dengan syarikat pembina rumah terbesar yang berpangkalan di Osaka, Daiwa House Industry Co and Ltd.
"Syarikat itu agak teruja dengan kualiti produk dari Malaysia selain komited untuk terus mendapatkan sumber pembinaan, hiasan dalaman dan perabot dari Malaysia untuk projeknya di Jepun dan negara-negara Asia yang lain," kata MATRADE.
Semasa misi itu, MATRADE dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (Jetro) juga telah bersetuju bagi melanjutkan memorandum kerjasama (MoC) selama setahun lagi sehingga 5 April 2024, sebagai mengiktiraf inisiatif dan aktiviti yang dijalankan di bawah MoC yang ditandatangani pada 2021, yang mana ia telah berjalan selama dua tahun.
MoC itu bertujuan menggalakkan perdagangan, memperdalam persefahaman, persahabatan selain menyumbang kepada pembangunan perdagangan antara kedua-dua negara termasuk dalam bidang seperti halal, teknologi maklumat dan komunikasi, e-dagang serta transformasi digital. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!