KPM, MOSTI bekerjasama kembalikan STEM jadi pilihan pelajar
KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan menjalin kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta pihak berkepentingan sebagai usaha mengembalikan minat pelajar terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menteri berkenaan, Fadhlina Sidek menerusi catatan di Facebook berkata, hal itu dipersetujui menerusi perbincangan beliau dan kepimpinan KPM bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
"Bagi menangani isu kemerosotan jumlah pelajar yang berminat dalam mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), kita akan melaksanakan usaha-usaha serta kerjasama dengan pihak-pihak yang berkepentingan untuk memastikan STEM kembali menjadi bidang pilihan pelajar,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapannya pada sambutan Hari Guru 2023 Mei lepas telah menyentuh mengenai minat terhadap bidang STEM yang semakin berkurangan dalam kalangan pelajar.
Sehubungan itu, Anwar mengarahkan Menteri Pendidikan menubuhkan satu pasukan khas bagi mencari jalan untuk menyuntik minat pelajar sekolah terhadap STEM terutama dalam kalangan pelajar di desa dan B40. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!