Jangan cemas lihat pesawat terbang rendah - TUDM
KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengingatkan orang ramai agar tidak cemas atau bimbang jika melihat pesawat tentera terbang rendah di beberapa kawasan sekitar Lembah Klang terutamanya di ruang udara Putrajaya.
TUDM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia sedang melaksanakan persiapan bagi Istiadat Perbarisan Mengarak Panji-Panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2023 yang bermula hari ini hingga hari sebenar pada 10 Jun ini di Dataran Pahlawan Negara di Putrajaya.
Menurut kenyataan itu, ia akan melibatkan terbang lintas hormat beberapa pesawat helikopter Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan TUDM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!