20 pengadil, 10 penolong pengadil bakal dapat tauliah VAR
SERAMAI 20 pengadil dan 10 penolong pengadil dipilih untuk menjalani latihan dan ditauliah sebagai pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR) pada tahun ini.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan berkata, latihan tersebut akan diperluaskan lagi dengan jangkaan 15 pengadil lagi yang akan ditauliahkan pada tahun depan.
Ia sekali gus menyaksikan usaha untuk memastikan penggunaan VAR dalam saingan Liga Malaysia dapat direalisasikan dalam masa terdekat.
"Latihan dan tauliah kali ini turut merangkumi pengadil bertaraf Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) (enam orang), penolong pengadil FIFA (lapan orang) dan seorang penolong pengadil FIFA (wanita).
"Pelaksanaan VAR pada tahun ini lebih tertumpu kepada latihan pengadil, 'VAR simulator', pengiktirafan teknologi VAR dan pengiktirafan stadium yang akan menggunakan VAR.
"Sebagai tambahan seramai 15 pengadil dan penolong pengadil akan turut dipanggil untuk mengikuti latihan VAR pada tahun ini dan mereka akan ditauliahkan pada 2024," kata kenyataan yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Kali Kelapan Bagi Penggal 2021-2025 dipengerusikan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Selasa.
Dalam pada itu, mesyuarat tersebut turut bersetuju untuk memilih logo baharu Pestabola Merdeka edisi ke-42 tahun ini bagi menggantikan logo lama pada tahun 2013.
"Turut dipersetujui adalah harga tiket iaitu RM5 untuk kanak-kanak dan RM40 untuk dewasa bagi tempat duduk terbuka.
"Untuk granstand pula RM40 dan premium RM80. Jawatankuasa Eksekutif juga bersetuju untuk menawarkan tiket kombo RM70 bagi kategori terbuka untuk dua hari perlawanan (14 dan 17 Oktober 2023) dengan tempoh penjualan terhad dari 1 Ogos hingga 5 September 2023 di www.tickethotline.com.my," kata kenyataan itu.
Pestabola Merdeka dijadualkan berlangsung 14 hingga 17 Oktober 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan tiga negara mengesahkan penyertaan iaitu Palestin, Lubnan dan India.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!