Dua beradik dikhuatiri lemas ketika memukat udang
KUALA KEDAH - Dua beradik dikhuatiri lemas ketika memukat udang selepas perahu yang dinaiki mereka dipukul ribut di perairan Kuala Sala, dekat sini pada Selasa.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, mangsa, Mohd Faudzi Tajuddin,48, dan adiknya, Mohd Farizan, 41, yang berasal dari Kuala Sala dikhuatiri hilang pada jam 4.45 pagi.
Menurutnya, tiga individu termasuk dua nelayan tempatan itu menaiki dua perahu yang berpangkalan di Kuala Sala dan keluar ke laut untuk memukat udang sebelum di badai ribut.
"Berikutan ribut itu, salah satu perahu telah terdampar di pantai dan sebuah lagi perahu dinaiki dua beradik itu telah ditemui terapung di laut oleh bot nelayan tempatan.
"Susulan itu, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah menerima panggilan dari Balai Polis Kota Sarang Semut memaklumkan seorang pengadu yang juga saudara mangsa telah hadir memaklumkan kejadian berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi juga telah mengaktifkan Operasi Carilamat pada 1.30 petang dan mengatur gerak bot Perkasa 1224 sejurus menerima maklumat.
Menurut Noor Azreyanti, usaha mengesan mangsa turut disertai pelbagai agensi termasuklah Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa bot nelayan tempatan.
Komuniti nelayan sekitar diminta membuat laporan sekiranya menemui sebarang petunjuk di laut melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!